Isnin, 12 Julai 2010

Ust Ibrahim dihalang berceramah


LENGGONG, 12 Julai: Kerinduannya kepada keluarga serta rakyat di kawasan Parlimen yang pernah ditandinginya selepas selamat pulang ke tanahair Jumaat lalu, membuatkan Ustaz Muhammad Zulkifli Muhammad Zakaria, 41, yang hampir sebulan ditahan di Mesir, tidak sabar untuk berada di atas pentas.

Kebetulan ada program ceramah anjuran PAS Kawasan Lenggong di Kampung Kota Tampan Air kelmarin (10 Julai), beliau turut bersama berada di atas pentas, bagaimanapun tidak dibenarkan berucap atas arahan pihak polis.

Namun kerinduan penduduk terhadap beliau terubat dan perasaan lega orang ramai terbayang kerana beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Perak tidak ditahan berpanjangan di Mesir dan apabila pulang tidak dikenakan tindakan tahanan lanjut.

Program ceramah itu membabitkan Timbalan Pengerusi Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar PAS Pusat, Haji Ahmad Idzam Ahmad, Exco Dewan Pemuda PAS Perak, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar dan Yang DiPertua PAS Lenggong, Haji Razman Zakaria dengan kehadiran lebih 500 penduduk.

Program sempena majlis akikah seekor lembu itu turut dimeriahkan dengan acara pertandingan membaca teks khutbah peringkat menengah yang berjaya dimenangi oleh adik Muhammad Muzammil Jamaluddin, di mana hadiah disampaikan oleh Razman.

Sementara itu, ketika ditemui selepas program ceramah, Muhammad Zulkifli yang lebih mesra dengan panggilan Ustaz Ibrahim, berkata selama 25 hari berada dalam tahanan, beliau terpaksa menerima deraan seperti berdiri tiga hari tiga malam, sehari semalam dan dikenakan kejutan elektrik.

Katanya, deraan itu sebagai denda kerana pihak berkenaan tidak dapat menerima alasan-alasan yang diberikannya selepas disoalsiasat, seperti mengenai sijil diploma yang terlupa dibawanya menyebabkan beliau tidak diterima untuk menduduki pengajian/peperiksaan peringkat sarjana.

"Bila dia tanya tidak adakah orang yang boleh menghantar sijil itu, saya jawab tidak ada, dia tidak terima alasan itu, saya pun didenda berdiri sehari semalam, mula waktu asar sampai waktu asar keesokannya," katanya.

Muhammad Zulkifli berkata, antara soalan-soalannya hanya mengenai tujuannya ke Mesir, di mana memang beliau ke sana untuk menyambung belajar ke peringkat sarjana dan tidak ada tujuan lain selain itu.

Katanya, apabila dibebaskan dan sampai di Lapanganterbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia pula, di mana beliau ditanya apa yang berlaku di Mesir yang mengakibatkan beliau ditahan.

Beliau seterusnya melahirkan rasa kesyukurannya kerana dibebaskan tanpa terpaksa menjalani tahanan lanjut dan berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan supaya beliau dibebaskan segera.

"Saya amat bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat saya dan keluarga saya, termasuk yang sama-sama mendoakan supaya saya dibebaskan segera dan dapat pulang dengan selamat," katanya.


-harakahdaily-

Tiada ulasan: