Selasa, 13 Julai 2010

DS Nizar akan bawa isu saman ekor ke parlimen

IPOH: Ahli Parlimen Bukit Gantang, Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, berkata beliau akan membangkitkan isu saman ekor dalam Dewan Rakyat kerana menimbulkan banyak masalah kepada orang ramai.

Beliau berkata, tindakan polis menguatkuasakan saman ekor bercanggah dengan undang-undang kerana pemilik kenderaan hanya boleh didakwa dan didapati bersalah di mahkamah dan bukannya diminta terus membayar saman.
"Pengeluaran saman itu agak samar...saya akan membawa perkara ini ke Dewan Rakyat dan minta ia diberhentikan serta-merta kerana ia satu penganiayaan," katanya pada sidang media di sini, hari ini.
Pada 9 Julai lalu, Ketua Trafik Persekutuan, Datuk Abdul Aziz Yusof, mengeluarkan kenyataan bahawa pihaknya tidak merancang untuk mengkaji semula saman ekor berikutan rungutan orang ramai yang mendakwa tidak menerima notis saman.

Abdul Aziz berkata, dakwaan itu timbul akibat mereka tidak mengemas kini alamat masing-masing.

-Bernama-

Isnin, 12 Julai 2010

Ust Ibrahim dihalang berceramah


LENGGONG, 12 Julai: Kerinduannya kepada keluarga serta rakyat di kawasan Parlimen yang pernah ditandinginya selepas selamat pulang ke tanahair Jumaat lalu, membuatkan Ustaz Muhammad Zulkifli Muhammad Zakaria, 41, yang hampir sebulan ditahan di Mesir, tidak sabar untuk berada di atas pentas.

Kebetulan ada program ceramah anjuran PAS Kawasan Lenggong di Kampung Kota Tampan Air kelmarin (10 Julai), beliau turut bersama berada di atas pentas, bagaimanapun tidak dibenarkan berucap atas arahan pihak polis.

Namun kerinduan penduduk terhadap beliau terubat dan perasaan lega orang ramai terbayang kerana beliau yang juga Ketua Penerangan Dewan Ulamak PAS Perak tidak ditahan berpanjangan di Mesir dan apabila pulang tidak dikenakan tindakan tahanan lanjut.

Program ceramah itu membabitkan Timbalan Pengerusi Lajnah Pekerja dan Peneroka Bandar PAS Pusat, Haji Ahmad Idzam Ahmad, Exco Dewan Pemuda PAS Perak, Ustaz Fakhrulrazi Mokhtar dan Yang DiPertua PAS Lenggong, Haji Razman Zakaria dengan kehadiran lebih 500 penduduk.

Program sempena majlis akikah seekor lembu itu turut dimeriahkan dengan acara pertandingan membaca teks khutbah peringkat menengah yang berjaya dimenangi oleh adik Muhammad Muzammil Jamaluddin, di mana hadiah disampaikan oleh Razman.

Sementara itu, ketika ditemui selepas program ceramah, Muhammad Zulkifli yang lebih mesra dengan panggilan Ustaz Ibrahim, berkata selama 25 hari berada dalam tahanan, beliau terpaksa menerima deraan seperti berdiri tiga hari tiga malam, sehari semalam dan dikenakan kejutan elektrik.

Katanya, deraan itu sebagai denda kerana pihak berkenaan tidak dapat menerima alasan-alasan yang diberikannya selepas disoalsiasat, seperti mengenai sijil diploma yang terlupa dibawanya menyebabkan beliau tidak diterima untuk menduduki pengajian/peperiksaan peringkat sarjana.

"Bila dia tanya tidak adakah orang yang boleh menghantar sijil itu, saya jawab tidak ada, dia tidak terima alasan itu, saya pun didenda berdiri sehari semalam, mula waktu asar sampai waktu asar keesokannya," katanya.

Muhammad Zulkifli berkata, antara soalan-soalannya hanya mengenai tujuannya ke Mesir, di mana memang beliau ke sana untuk menyambung belajar ke peringkat sarjana dan tidak ada tujuan lain selain itu.

Katanya, apabila dibebaskan dan sampai di Lapanganterbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), beliau ditahan oleh pihak berkuasa Malaysia pula, di mana beliau ditanya apa yang berlaku di Mesir yang mengakibatkan beliau ditahan.

Beliau seterusnya melahirkan rasa kesyukurannya kerana dibebaskan tanpa terpaksa menjalani tahanan lanjut dan berterima kasih kepada semua pihak yang mendoakan supaya beliau dibebaskan segera.

"Saya amat bersyukur kepada Allah dan berterima kasih kepada semua pihak yang mengambil berat saya dan keluarga saya, termasuk yang sama-sama mendoakan supaya saya dibebaskan segera dan dapat pulang dengan selamat," katanya.


-harakahdaily-

'27 hari kena gari, mata ditutup'


KUALA LUMPUR: "Sangat menyeksakan. Mata saya ditutup dengan kain hitam manakala tangan bergari, dan terpaksa makan dalam keadaan bergari sepanjang berada dalam penjara Mesir," luah pelajar Malaysia, Muhammad Zulkifly Mohd Zakaria, 44, yang ditahan selama 27 hari dan selamat tiba di tanah air Jumaat lalu.
Menceritakan pengalaman sepanjang berada dalam tahanan, Muhammad Zulkifli berkata, garinya hanya dibuka untuk mengerjakan solat lima waktu dan beliau yang ditempatkan bersama tahanan lain tidak dibenarkan bercakap sesama mereka.
“Sepanjang berada dalam tahanan, saya hanya dipanggil untuk soal siasat berhubung tujuan sebenar ke negara itu dan pembabitan parti di Malaysia, selebihnya kehidupan seharian saya adalah makan dan tidur.

“Khamis lalu, seorang anggota penjara memaklumkan mereka akan menguruskan untuk menghantar saya pulang ke tanah air, namun saya tidak dibenarkan menemui dan memaklumkan perkara itu kepada pihak Kedutaan Malaysia tanpa diberi sebarang alasan,” katanya ketika dihubungi Berita Harian, semalam.

Akhbar sebelum ini melaporkan Muhamad Zulkifli yang baru menamatkan peperiksaan peringkat Sarjana ditahan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kaherah, Mesir pada 13 Jun lalu, ketika melalui pemeriksaan imigresen untuk menaiki penerbangan pulang ke Malaysia.

Pihak berkuasa Mesir melalui satu kenyataan yang dikeluarkan menjelaskan pelajar berkenaan ditahan mengikut Undang-Undang Darurat negara yang membolehkan individu ditahan tanpa pendakwaan bagi tujuan siasatan berhubung kegiatan pengganas atau pengedaran dadah.
Muhammad Zulkifli berkata, beliau bersyukur, deritanya selama 27 hari sepanjang dalam tahanan berakhir dan dapat kembali ke pangkuan keluarga bersama anak isteri.

“Niat ikhlas disusuli doa setiap hari akhirnya termakbul. Tujuan saya ke sana hanya untuk belajar dan alhamdulillah pengajian peringkat Sarjana dalam bidang Syariah akhirnya selesai. Tidak terdetik di hati untuk melakukan perkara menyalahi undang-undang.

“Saya berterima kasih kepada semua pihak, termasuk Wisma Putra dan media yang banyak membantu membebaskan saya pulang ke tanah air, tanpa usaha mereka, mungkin sehingga kini saya masih dalam tahanan,” katanya.

Muhammad Zulkifli yang tiba di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) kira-kira jam 4 petang, Jumaat lalu disambut ahli keluarga sebelum pulang ke kampungnya di Manjung, Perak.

-BH Online-

Khamis, 8 Julai 2010

Ustaz Ibrahim bebas


Ustaz Ibrahim telah dibebaskan oleh pihak berkuasa mesir setelah hampir sebulan ditahan tanpa sebab.Mengikut laporan blog Ust Misbahul Munir dan Cina Islam pagi ini,beliau kini sedang mengurus kepulangannya ke tanah air.

Menurut Ust Misbah,kemungkinan Ust Ibrahim bakal ditahan oleh Sb Malaysia setibanya nanti di KLIA.

Ahli2 Pas diseru untuk terus berdoa dan bersolat hajat untuk mengelakkan perkara yang buruk berlaku ke atas Ust Ibrahim.


-Nur12-

Ahad, 4 Julai 2010

Laungan Tak Nak Judi bergema di masjid negara



KUALA LUMPUR, 3 Julai: Lebih 3 000 membanjiri perkarangan masjid negara hari ini bagi menyatakan bantahan tak nak judi kepada kerajaan.

Berucap di perhimpunan tersebut Pengerusi GMJ Cikgu Azmi bin Abd Hamid, Setiausaha Suhaizan Kayat dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasruddin Hasan.

Pada himpunan itu juga turut dilancarkan kempen Tak Nak Judi dan buku Tak Nak Judi.

Gerakan Membantah Judi juga tidak akan berkompromi dengan segala bentuk judi yang melibatkan kanak-kanak dan belia sebelum ianya membarah dalam masyarakat.

Azmi berkata, lesen berkaitan judi meliabatkan golongan berkenaan mesti dihentikan serta-merta.

"Ada pun judi yang melibatkan kanak-kanak dan belia, yang itu memang sama sekali kita tidak ada kompromi.

"Sudah sampai masanya generasi muda mesti dibersihkan daripada judi dan sebarang lesen yang berkaitan judi yang membolehkan kanak-anak dan belia terlibat dengan judi, kita mesti hentikan serta merta tanpa kompromi kerana kanak-kanak tidak tahu apa-apa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ringkas selepas selesai merasmikan perhimpunan Tak Nak Judi di perkarangan Masjid Negara petang tadi.

Beliau yang juga presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) turut berkata, pihak GMJ membuat keputusan meneruskan kempen Tak Nak Judi itu untuk memberikan kesedaran secara serius kepada masyarakat tentang bahana judi.

"Kita buat keputusan kempen ini penting kerana kita nak menyebarkan kesedaran yang serius dan bersungguh bahawa judi ini tidak bermanfaat sama sekali baik dari sudut ekonomi, sosial, dan keluarga," katanya.

Justeru katanya, kempen berkenaan yang secara rasminya bermula hari ini akan berterusan sehingga tahun hadapan dengan pelbagai program kesedaran di setiap negeri.

"Yang penting kita mendidik kesedaran ini. Kita tunjukkan semua bukti apa kesan kepada mereka yang terlibat dengan judi. Apa kesan kepada ekonomi dan budaya."

"Jadi kita akan teruskan kempen ini sepanjang tahun sehingga tahun hadapan. Kita akan bagi kesedaran kepada kaum ibu, golongan profesional dan pekerja-pekerja melalui progaram ceramah, edar risalah dn poster dan akan dilakukan di setiap negeri," katanya lagi.

Sebelum itu, seramai kira-kira 3 000 orang membanjiri perkarangan Masjid Negara bagi menyatakan bantahan tak nak judi kepada kerajaan. Himpunan tadi bermula dengan solat Asar berjemaah di Masjid Negara.

Mereka kemudian berhimpun di perkarangan masjid bagi mendengar ucapan dari penganjur dan pimpinan Pakatan Rakyat.Himpunan yang pada mulanya dijadualkan pada jam dua petang itu ditangguhkan ke jam lima petang tadi bagi menghormati majlis pengkebumian Allahyaraham Toh Puan Norashikin Mohd Seth yang merupakan balu kepada bekas timbalan perdana menteri Malaysia, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman.

Pada perhimpuan tersebut, Mohd Azmi turut melancarkan buku terbitan GMJ, berkaitan kesan judi kepada masyarakat.Golongan muda dilihat mendominasi perhimpunan aman yang dikawal kira-kira 50 anggota polis itu.

Laungan 'Kami tak nak judi, kami benci judi', 'tolak judi, jauhi judi' dan beberapa slogan lagi bergema di perhimpunan itu.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudi Hassan dalam pidatonya berkata, atas dasar agama, GMJ bertanggungjawab menyedarkan rakyat bahawa judi merupakan amalan yang ditolak oleh semua agama, apatah lagi bagi yang beragama Islam.

Turut berucap di himpunan itu termasuk ketua penerangan pemuda PAS, Suhaizan Kaiyat yang juga setiausaha GMJ, Ketua Pemuda PKR Syamsul Iskandar Mat Akin, selain wakil daripada Jemaah Islah Malaysia (Jim), Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan juga Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Mengggamatkan suasana apabila Shamsul melaungkan 'Najib judi, Rosmah judi, Umno pun judi'.Himpunan berkenaan berakhir kira-kira jam enam petang dengan bacaan doa oleh exco pemuda PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz

-harakahdaily-