Khamis, 25 November 2010

Isu Ancak Zambry: Pemuda Pas sekali lagi nyatakan sedia debat

IPOH, 25 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mencabar semua pengendali laman web atau blogger pro Umno BN agar berdepan bersama di atas satu pentas untuk mengemukakan hujah-hujah mereka jika benar-benar berani bersemuka berhubung ancak tiang seri.

Ketuanya, Zawawi Hassan berkata, ini kerana pihaknya melihat trend penyokong Umno BN yang mengendalikan laman web atau blog pro parti itu sedang menunjukkan mereka di pihak benar dengan memberikan hujah-hujah terutama berkaitan tindakan yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir semasa menghadiri dan melakukan upacara meletakkan ancak ke tiang seri program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar, Manong pada 17 Oktober yang lalu.

DPPN Pk, katanya mengalu-alukan terutama pengendali laman web peraktoday.com dan juga bloggertaipingmali.blogspot.com agar menerima saranan berdebat tersebut.

Beliau menambah, DPPN Pk merasakan trend hujah satu hala itu tidak profesional dan menganggapkan berdebat atas satu pentas adalah lebih matang lagi bersifat profesional.

“Mengapa takut jika mereka benar-benar mampu mengemukakan sebarang hujah berkaitan kenyataan DPPN Pk?” soalnya dalam satu kenyataan di sini.

Di atas pentas tersebut, tambahnya masing-masing boleh mengemukakan hujah dan lebih matang serta bersifat berani dengan hujah tersebut.

Tegasnya, DPPN Pk akan menunggu persetujuan bersama untuk berdebat atas satu pentas nanti.

“DPPN Pk berharap mereka tidak takut malah berani untuk menyahut cabaran ini. Bagi DPPN Pk, sama-samalah kita menanti apakah hujah mereka selepas ini,” katanya lagi.

-Harakahdaily-

Tiada ulasan: