Sabtu, 28 November 2009

Dun Perak: Cawangan,ahli digesa siap sedia hadapi pilihanraya

TITI SERONG,28 Nov: Cawangan PAS digesa bersiap lebih awal untuk menghadapi kemungkinan pembubaran DUN berdasarkan kemelut suasana politik Perak yang tidak menentu.

Demikian antara penegasan ADUN Titi Serong yang juga Ketua Penerangan PAS Perak, Drs. Khalil Idham Lim semasa memberi taklimat Pembubaran DUN Perak untuk Cawangan PAS Parit Kasa di sini semalam.

"Sejak BN merampas kuasa pada Februari yang lepas, saya ingatkan kepada Jentera PAS bahawa BN telah melakukan sesuatu untuk menghadapi Pilihanraya, kerana itu jentera parti PAS juga mesti melakukan sesuatu juga,"jelasnya sambil memuji langkah proaktif yang dilakukan oleh cawangan tersebut dan wajar dicontohi oleh cawangan PAS di DUN Titi Serong dan seluruh negeri Perak.

Hadir sama dalam taklimat itu ialah Ketua Cawangan dan Ajk Cawangan tersebut dengan petugas pilihan raya di kalangan pemuda cawangan yang terletak dalam DUN Titi Serong tersebut.

"Usaha yang dilakukan oleh BN termasuklah mempergunakan badan-badan seperti Suruhanjaya Pilihan raya,"kata Drs. Khalil.

Beliau juga mengharapkan cawangan perlu mengadakan sesuatu dan program tertentu seperti pergerakan jentera lebih awal seperti culaan undi dan pendaftaran pemilih yang baru.

"Pemuda perlu memeriksa setiap rumah penyokong PAS di cawangan dan memastikan kalau masih ada pengundi yang belum didaftarkan, kerana cawangan boleh tahu masalah ini berdasarkan pemeriksaan yang teliti yang dilakukan oleh cawangan," jelasnya lagi.

Tambahnya,PAS dan pakatan Rakyat perlu ada jentera yang kuat untuk menghadapi pilihan raya apalagi berdepan dengan BN yang mempergunakan sepenuhnya jentera kerajaan yang ada.

"Kemelut politik yang berlaku tidak akan dapat diselesaikan dengan perbicaraan di Mahkamah dan persidangan DUN...hanya pembubaran DUN yang mampu memyelesaikan krisis ini," tegasnya.

-harakahdaily-

Khamis, 26 November 2009

TAHNIAH BUAT UST SYED

Assalamualaikum,

Pagi semalam ketika saya dalam perjalanan balik kampung saya menerima sms dari Ust Syed (Naib Ketua Dppkl) memaklumkan isteri beliau telah selamat melahirkan seorang putera seberat 3.7kg.

Dengan ini bagi pihak seluruh ajk DPPKL,mengucapkan tahniah dan mabruk buat Ust Syed sekeluarga atas kehadiran putera baru ini.

Sekian.


-Nur12-

Selasa, 24 November 2009

Khamis, 19 November 2009

Pemuda Pas lancar RM1 untuk Tabung Bantuan Pasukan Seladang Perak






Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) hari ini diberikan peluang berbincang dengan Persatuan Bolasepak Negeri Perak dan Datuk Seri Ir. Haji Mohammad Nizar Jamaluddin, Presiden Persatuan Bolasepak Perak bukan dengan sebarang sentimen politik tetapi perbincangan atas semangat kesukanan yang tinggi demi pembangunan bolasepak di Perak khasnya.

DPPN Pk sedar bahawa berjuta peminat bolasepak yang berada di luar sana akan merindui sentuhan Pasukan Bolasepak Perak atau Pasukan Seladang ini yang pernah menempah sejarah yang membanggakan apabila dengan beberapa syarat tambahan baru daripada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) kerana Pasukan Bolasepak Perak mungkin tidak dapat beraksi pada Liga Super musim baru ini.

DPPN Pk jelas dengan kekangan isu pembayaran kepada Lembaga Hasil Dalam Negeri (HASIL) dan juga Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) yang telah FAM ketatkan di dalam syaratnya yang perlu dijelaskan menyebabkan Pasukan Bolasepak Perak tidak layak menyertai Liga Super kali ini. DPPN Pk juga yakin Persatuan Bolsepak Perak akan memastikan isu pembayaran ini di selesaikan dengan segera.

Oleh yang demikian, Dewan Pemuda PAS Negeri Perak pada hari ini berusaha membantu Persatuan Bolsepak Perak dengan melancarkan Kempen Seringgit (RM1) untuk Tabung Bantuan kepada Persatuan Bolsepak Perak. DPPN Pk akan merancang beberapa perlawan an bolasepak amal bagi tujuan tersebut dan akan menggerakkan seluruh peminat, penyokong dan rakyat Negeri Perak yang cintakan sukan bolasepak ini untuk sama-sama membantu.

ZAIRUL AZRUN ZAINAL ABIDIN
Bendahari,
Dewan Pemuda PAS Negeri Perak

Rabu, 11 November 2009

BANTAHAN AWAM BERKAITAN CADANGAN PROJEK INDUSTRI KELULI DI ZON PELANCONGAN TELUK RUBIAH/ TELUK BATIK

Orang-orang awam yang mempunyai kepentingan untuk membantah rancangan pembinaan industri keluli di zon pelancongan Teluk Rubiah/ Teluk Batik, bolehlah membuat bantahan awam dengan menggunakan borang bantahan yang boleh didapati di Bahagian Pembangunan Komuniti dan Sosial, Majlis Perbandaran Manjung. Tarikh tutup bantahan ini ialah pada12 November 2009 (khamis).

Kenapa kita membantah????

. Industri keluli boleh menyebabkan pencemaran alam sekitar.

. Menjejaskan pendapatan dan pergerakan nelayan-nelayan pantai untuk mencari ikan sebagai sumber pendapatan.

. Menutup dan mengurangkan aktiviti-aktiviti pelancongan khususnya tempat riadhah di tepi pantai yang cantik dan indah.

. Tidak sesuai dengan suasana persekitaran sebagai kawasan industri.


*OM : Jangan terjadi seperti Projek Kolam Udang di sekitar Tanjung Kepah persisiran pantai Lekir, bakau dicantas, kolam digali, akhirnya ia mencemarkan keaadaan, kroni BN dapat untungnya, penduduk 'terduduk'.

Ribut yang sebelum ini dipecahkan bakau, ikan-ikan bermain tepian pantai, kini tiada lagi. Nelayan miskin terpaksa ke 'tengah' laut mencari sesuap nasi untuk keluarganya, ribut pula datang memusnahkan teratak buruk si miskin.

Sesal, dan kini penanaman semula bakau dilakukan. Jadikan ia pengajaran.

Manjung telah dan sedang dicemarkan, bakau di venice of perak semakin dikikis, pulau buatan manusia si marina island melimpahkan air laut ke rumah nelayan, asap dan debu arang di janakuasa manjung mencemarkan udara, kesihatan pekerja terjejas.

Majlis Perbandaran Manjung kini menswastakan kutipan sampah untuk penduduk manjung, pekerja dan pelanggan tidak lagi dijamin kebersihannya!

Akan menyusul :

1. Bantahan Pekerja Am MPM terhadap penswastaan pegurusan sisa pepejal & pembersihan kepada Syarikat Environment IDAMAN SDN BHD.

2.Gambar sekitar bakau ditarah untuk pembangunan kawasan Venice of Perak, Desa Manjung Raya.

3. Marina Island pulau buatan yg terindah di Malaysia memberi kesan sampingan terhadap alam sekitar dan nelayan.

-http://n51pasirpanjang.blogspot.com-

Selasa, 10 November 2009

Penjelasan isu Bai'ah (2) - menolak persepsi dari Utusan Malaysia

Bai'ah jatuh talak tiga terhadap isteri wakil rakyat PAS menjadi isu tumpuan penulis blog hujung minggu lalu, malah Utusan Malaysia menjadikan rencah utama dalam slot berita akhbarnya, sehinggalah kepada terbitannya pada hari ini. Rujuk dibawah. Polemik ini mungkin dimulakan oleh penulis blog zul4kulim yang terkejut dan berterusan terkejut bila mengetahui akan wujudnya bai'ah tersebut.



Penjelasan Isu Bai'ah (2)


Oleh : MRK albanjari/albanjari


Inilah masalahnya apabila ada segelintir penyokong PAS dan ahli PAS yang gagal memahami perjalanan dan perjuangan parti yang mereka dokongi, begitu juga terdapat segelintir blogger yang mengaku sebagai blogger PAS dan mendokongi perjuangan PAS yang turut sama gagal memahami perjalanan dan perjuangan PAS itu sendiri.

Mereka ini sering melihat PAS dari persepsi musuh PAS iaitu Umno, maka kerana itulah PAS ini dipaparkan sebagai parti yang zalim dan sebagainya. Kini isu bai'ah PAS pula menjadi taruhan untuk dijaja serta dijual kepada khalayak, dimana seenaknya mereka mengkritik untuk melemahkan PAS.

Apa masalahnya dengan bai'ah talak tiga itu kepada para pemimpin PAS yang telah memenangi pilihanraya yang kini bergelar YB ADUN atau Ahli Parlimen ? Dimanakah zalimnya ?

Mohon perhati contoh ini, yang mudah untuk difahami. Sejurus kita selesai akad nikah kita akan diwajibkan untuk membaca ikrar atau taklik yang berbunyi
" Apabila saya tinggalkan isteri saya, Safina binti Mochtar selama 4 bulan Hijrah berturut-turut dengan sengaja atau paksaan, atau saya atau wakil saya tiada memberi nafkah yang selayaknya kepadanya selama tempoh masa yang tersebut, pada hal dia taatkan saya, atau saya melakukan sebarang mudarat atau lazim menyakiti tubuh badannya, kemudian dia mengadu kepada Mahkamah Syariah, dan apabila sabit aduannya, di sisi Mahkamah Syariah, dan dia memberi kepada Mahkamah Syariah yang menerima bagi pihak saya SEPULUH RINGGIT maka pada ketika itu tertalaq dia dengan TALAQ KHULU' ( tebus talak ).."
Apa tujuan kita ( para pengantin lelaki ) diwajibkan untuk membaca lafaz taklik berkenaan kemudian menandatangani taklik tersebut sejurus kita selesai akad nikah ?

Antara lain tujuanya ialah untuk menjaga maslahat dan kebajikan isteri supaya para suami tidak menganiayai isteri dengan meninggalkannya sesuka hati kemudian menghalang para suami dari mendera atau memukul isteri disamping memberikan nafkah yang selayaknya kepada para isteri sesuai dengan amanah dan tanggungjawab sebagai seorang suami kepada isterinya.

Langkah yang sama juga diambil oleh PAS untuk menegah dan menghalang setiap pemimpinnya yang telah memenangi kerusi dalam sesuatu pilihanraya agar tidak memudaratkan parti dan warga yang diwakilinya.

Langkah ini diambil setelah pihak PAS melihat sejarahnya yang silam apabila ada sebahagian ADUN-ADUNnya yang melompat parti dan runtuhnya kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu pada satu ketika dahulu akibat dari Adun-Adunnya melompat dan menikam PAS dari belakang.

Setelah melihat insiden melompat parti ini, bakal merubah lanskap politik PAS itu sendiri lalu ia mengambil pandangan daripada gerakan islam di luar negara bagaimana mereka dapat mengikat ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin mereka daripada 'khianat kepada gerakan dan parti mereka maka diantaranya bai'ah talak tiga ini adalah salah satu daripada penyelesaiannya.

Bagi saya bai'ah talak tiga ni bukanlah rahsia kepada umum bahkan ia telah kerap kali diulang-ulang dalam siri ceramah di pentas ceramah para pemimpin PAS sejak dahulu lagi, bahkan saya sendiri telah acap kali mendengarnya dalam ceramah pimpinan di sekitar Perak, Selangor dan Pahang sejak sejurus pilihanraya lalu. Bagi mereka yang tidak pernah turun mendengar ceramah PAS tentunya akan merasakan ini adalah perkara baru bagi mereka kerana mereka sibuk menjadi blogger 'pencacai' yang menghentam PAS walaupun mengaku sebagai ahli PAS.

Bagi pengkagum dan ahli UMNO, PKR mahupun DAP mungkin inilah pertama kalinya mereka mendengar tentang isi kandungan bai'ah PAS.

Dalam isi kandungan bai'ah PAS ini bukan setakat isu talak tiga sahaja yang wajar dilihat, malah ia patut dilihat kepada keseluruhan kandungannya, bahkan turut disebut juga antaranya ialah apabila,
"saya mengkhianati parti dan melompat parti maka haramlah segala gaji dan pendapatan saya dan saya wajib meletakan jawatan sebagai ADUN / MP". Setiap perenggan yang terkandung dalam bai'ah ini juga dimulakan dengan lafaz sumpah Wallahi, wa Billahi dan Watallahi seperti layaknya sebagai satu sumpah yang menurut syara..'.

Cuba kita bayangkan hampir tiga tahun kerajaan PAS Kelantan yang mampu bertahan dengan kelebihan 1 kerusi memerintah Kelantan sebelum PRU 12 yang lalu diantaranya adalah kerana lafaz taat setia dan baiah ini. Para pemimpin PAS bergelar ADUN di Kelantan tidak ada seorang pun yang termakan dengan godaan berjuta ringgit dari Umno untuk mereka melompat parti kerana adanya bai'ah seperti ini selain dari taat setia dan amanah terhadap tanggungjawabnya terhadap parti.

Disamping mengikat seseorang pemimpin PAS itu dengan Allah swt. wajar juga ia diikat dengan persekitarannya seperti mengHARAMkan gajinya atau tertalak isterinya adalah merupakan kifarah yang terpaksa ditanggung apabila mereka mengkhianati parti, dan apakah itu tidak setimpal dengan perbuatan mereka?

Lafaz ini hanya akan terpakai apabila seseorang pemimpin PAS itu bertindak melompat parti dan begitu jugalah halnya dengan lafaz taklik perkahwinan kita yang hanya akan terpakai apabila kita meninggalkan isteri kita dalam tempoh yang tertentu atau kita menganiaya mereka dan mereka mengadukan perkara tersebut di mahkamah syariah. Jadi apa masalah besar kepada bai'ah ini ?

Bagi PAS inilah jalan yang terbaik untuk mencegah penyakit 'lompat katak' para pemimpinnya yang bukan mudah-mudah bagi mereka bertenggek dengan kemenangan yang mereka perolehi bersama PAS, dan akan meninggalkan PAS apabila mereka telah bergelar YB.

Zalim kepada wanita ?

Tidak timbul isu menzalimi wanita yang merujuk kepada isteri-isteri YB PAS sekiranya mereka masih istiqamah berjuang bersama PAS begitulah juga kepada pemimpin Muslimat PAS yang telah bergelar YB juga tidak terlepas daripada terus bersama menjunjung dan menggalas perjuangan PAS.

Bagi Umno dan segelintir pemimpin-pemimpin PKR dan para blogger mereka (baca blogger BPN dan sewaktu dengannya) yang tidak puas hati dengan bai'ah PAS ini, itu urusan mereka kerana mereka itu bukannya pemimpin pas yang melafazkan bai'ah tersebut, maka mereka tidak terkesan sedikitpun secara langsung dengannya.

Ada pendapat cukup sekadar lafaz lian dengan sumpah laknat sudah memadai untuk mengawal para pemimpin daripada melompat parti, lihatlah seperti 3 ADUN PKR yang melompat di Perak hingga tumbangnya kerajaan PR Perak dan seorang di Selangor, apa yang parti mereka boleh buat terhadap tindakan mereka ? Bahkan SPR sendiri pun menolak surat akujanji mereka. Maka isu seperti inilah dan kejadian seperti inilah yang menjadi sempadan kepada PAS untuk menjaga kestabilan parti.

Jika tidak sanggup untuk melafazkan bai'ah bersama PAS, maka tidak perlulah mereka ini dinamakan sebagai calon pilihanraya PAS, dan ia boleh diganti dengan nama-nama dan calon-calon lain, apa susahnya ? Yang susah ialah mereka yang dengan sengaja memandang dan memainkan isu ini dari kacamata mereka, lebih-lebih lagi jika mereka ini orang luar dari PAS.

Isu rumahtangga kita, mengapa perlu campur tangan orang ketiga ? Tapi kalau dah namanya musuh, mereka akan sedaya upaya melemahkan dan memporak perandakan keharmonian PAS setelah segala isu yang dijaja sebelum ini berjaya dirungkai satu persatu, maka terciptalah pula isu bai'ah ini, yang mungkin bagi mereka ia boleh meletupkan PAS.

Kepada mereka yang menyokong dan ahli PAS, sepatutnya tidak mempersoalkan bai'ah ini kerana ia bukanlah satu rahsia kepada ahli kerana ia telah diumum dan disebutkan dalam banyak ceramah para pimpinan sebelum ini cuma waktu itu ia mungkin ramai yang tidak perasan dan mendengar sambil lalu sahaja.

Mahukah anda melihat para pemimpin kita yang telah bergelar YB dengan mudah-mudah melompat dan mengkhianati undi anda, dan anda sebagai ahli PAS ? Lihat dengan mata yang terang, otak yang lapang, jika anda sebelumnya bertungkus lumus bekerja untuk memenangkan mereka sebagi calon PAS, tetapi berbaloi-baloikah kerja dan usaha anda sebagai ahli PAS jika setelah kemenangan diraih, mereka semudah Osman melompat parti ? Sekadar contoh. Apakah anda tidak kecewa dan marah terhadap tindakan mereka itu jika pemimpin kita yang kita amanahkan melompat dari PAS ?

Terlalu banyak kebaikannya dari keburukan tentang bai'ah PAS ini kepada ahli dan penyokong serta organisasi PAS itu sendiri.

Kepada mereka yang masih buta hati tentang bai'ah ini, silalah mengundur diri dari terus membicarakan isu bai'ah ini kerana anda sebenarnya bukanlah ahli dan penyokong PAS dan bagi blogger yang mendakwa ahli dan penyokong setia kepada PAS janganlah menulis sesuatu yang anda sendiri tidak menjiwainya, dan janganlah pula anda salah seorang yang dilihatsebagai agen yang merosak dalaman parti !

Kita akan terus wala' kepada pimpinan selagi pimpinan taatkan Allah dan Rasulnya dan selagi pimpinan tidak menyuruh kepada kemungkaran dan menghalang yang makruf. Kita sewajarnya menyokong segala polisi yang difikirkan baik untuk memperkasakan organisasi parti dan bertindak untuk menentang segenap serangan musuh yang teringin melihat PAS porak peranda. Wallahualam.

(*) Artikel ini disunting semula dengan penambahbaikan oleh editor utama. Dilulus untuk siar terbit oleh Ketua Lajnah Penerangan PAS Pusat.

-albanjari Online-

Isnin, 2 November 2009

Brainstorming Pas Kawasan lumut

Bertempat di pecah batu Trong telah berlangsung Brainstorming ataupun percambahan minda bermula 31 hb okt sehingga 1 nov 2009,program tersebut telah menghimpunkan peserta-peserta dari MTD dan juga UPU-UPU Pas kawasan Lumut,program bermula jam 6 ptg dengan pendaftaran peserta dan juga pembahagian chalet,selepas solat magrib jamuan makan malam telah disediakan.

Dewan pemuda diwakili oleh S/U dan juga Musaab.Perasmian telah dilakukan oleh Pengarah JPN Pas Negeri iaitu Hj.Amuni Awi.Pada malam tersebut peserta dipecahkan secara berkumpulan untuk melakukan tugasan yang akan diberikan.

Selesai acara pada malam acara makan durian diadakan.Qiyamulai telah diadakan pada pukul 4.30 pagi dan selepas solat subuh,tazkirah telah disampaikan oleh Tuan Hj Noh selaku YDP kaw Lumut.

Aktiviti senaman pagi telah diadakan iaitu acara panjat bukit,suasana pagi yang sejuk begitu mendamaikan,biarpun ramai dikalangan peserta otai2 belaka tetapi mereka juga tidak ketinggalan mengambil bahagian,cuma ada yang langsung tidak membawa pakaian sukan,jadual aktiviti tidak diedarkan awal bagi membolehkan peserta membuat persiapan.Setelah bersarapan aktiviti brainstorming telah disambung.

Program tersebut tamat pada pukul 12 tghr,menu makan tghr ialah gulai kambing yang telah disedekahkan oleh seorang sahabat,selepas makan acara berendam pun bermula,angin sungai begitu dingin tapi deras,agak merbahaya kepada kanak2.Selepas solat zuhur peserta berangkat pulang.Tahniah kepada ajk -ajk yang telah bertungkus lumus menjayakan program tersebut,gambar akan menyusul.

-su dppkl-

Pas tidak pernah berpecah sekalipun ada konflik.

KUALA LUMPUR - Walaupun Jawatankuasa Pas Pusat malam Rabu lalu bersetuju mengadakan seminar politik pada 7 November ini dan bukannya Muktamar Khas bagi membincangkan kedudukan 'dua tiga kerat pemimpin tertingginya yang bermasalah', namun isu sebenar mengenai puak ini dapat disampaikan kepada anggota parti itu, kata beberapa pemerhati politik.

Pensyarah Undang-undang, Profesor Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, keputusan mesyuarat jawatankuasa itu tidak penting berbanding kejayaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam menyampaikan mesejnya mengenai pemimpin-pemimpin yang bermasalah itu yang hasilnya akan dilihat pada masa hadapan.

“Beliau membuka mata bahawa memang ada masalah dalam kalangan pemimpin parti itu dan mereka harus disingkirkan. Mungkin tidak berlaku sekarang kerana mustahil pemimpin berkenaan akan meletak jawatan. “Tetapi mesej ini akan diingati perwakilan pada pemilihan parti akan datang,” katanya.

Nik Abdul Aziz, sebelum ini, meminta parti itu mengadakan mesyuarat agung luar biasa bagi membolehkan perwakilan membuat keputusan mengenai kedudukan beberapa pemimpin Pas yang disifatkan sebagai bermasalah termasuk mereka yang pro-UMNO.

Antara pemimpin yang dinamakan ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Merujuk kepada saranan Hasan mengharamkan penjualan alkohol di kawasan majoriti Islam di Selangor, Abdul Aziz berpendapat Nik Abdul Aziz sedar tuntutan sedemikian menyebabkan Pas kehilangan sokongan bukan Melayu.

“Beliau tahu Pas berdepan dengan risiko kehilangan undi bukan Melayu jika mereka berterusan dengan cara sekarang dan sebab itulah beliau bersuara agar orang bukan Melayu kembali yakin kepada Pas,” katanya.

Abdul Aziz menolak kemungkinan bahawa tindakan Mursyidul Am itu akan menyebabkan Pas berpecah.

“Sejarah menunjukkan Pas tidak pernah berpecah sekalipun ada konflik. Ini cuma ribut dalam cawan dan mereka akan terus bersama sehinggalah penyelesaian sebenar tercapai,” katanya.

Seorang lagi pemerhati politik yang tidak mahu namanya disebut berkata, kepimpinan Pas kini dibelenggu beberapa isu yang sukar dirungkai.

“Pada saya masalah ini berakar umbi dengan percanggahan pendapat antara golongan ulama konservatif dan ulama yang agak liberal. Sekarang mereka bekerjasama dengan dua parti yang memang jelas liberal dan sudah pasti mempunyai kehendak berbeza.

“Mereka mempunyai persamaan iaitu mahu menguasai kerajaan pusat, tetapi daripada segi ideologi, bezanya macam langit dan bumi. Pas masih mahu menegakkan negara Islam tetapi apakah ini yang juga dikehendaki DAP dan PKR (Parti Keadilan Rakyat), rakan Pas dalam pakatan pembangkang)?” kata pemerhati itu.

Merujuk kepada isu alkohol di Selangor, pemerhati itu berkata Abdul Hadi tidak mampu menggunakan kuasanya bagi melaksanakan keputusan Majlis Syura agar Hasan dinasihati kerana tindakan sedemikian membawa mesej Pas merestui penjualan alkohol di kawasan majoriti orang Islam.

“Malah kalau kita teliti, semasa isu (anggota Exco Selangor daripada PKR Elizabeth Wong) dulu pun, Pas memisahkan diri daripada isu itu kerana pada hakikatnya Pas masih berpegang kepada

ideologi parti, iaitu menegakkan ajaran Islam, dan tindakan Elizabeth (yang didakwa bersekedudukan dengan lelaki Islam), sekalipun beliau bukan Islam, adalah isu moral yang tidak patut disokong Pas,” katanya.

Berasaskan hujah itu, beliau melihat keputusan mesyuarat jawatankuasa pusat malam tadi untuk menyiasat Pas Selangor, adalah sekadar memuaskan hati sesetengah pihak.

“Mereka mungkin siasat tetapi apa keputusannya? Berani kah mereka menyingkir Dr Hasan? Saya berpandangan isu ini juga lama kelamaan akan didiamkan begitu saja,” kata pemerhati itu.

Kesimpulannya, kata beliau, konflik kepimpinan Pas akan berterusan, tetapi parti itu mempunyai formula untuk menyatukan mereka sekalipun berkrisis.

“Pada saya perkara ini mungkin berfaktorkan asas penubuhan parti, iaitu Islam dan pemimpinnya tetap berpegang kepada asas itu setidak-tidaknya untuk dipamerkan kepada umum, sekalipun di dalam mereka berantakan,” katanya.

Bagi seorang lagi penganalisis politik, Asri Salleh, tindakan Nik Abdul Aziz 'menggoncang bahtera' Pas mungkin berpunca daripada peningkatan sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya melihat ada dua tekanan dihadapi Pas sekarang akibat daripada peningkatan sokongan kepada Najib ini, iaitu ada puak yang mahu Pas bekerjasama dengan UMNO sekarang dan ada puak mahu Pas kekal dengan pakatan pembangkang sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13.

“Pihak yang pertama ini bimbang jika mereka tidak bekerjasama dengan UMNO sekarang mereka akan terlepas,” katanya yang juga pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, Dungun, Terengganu. - Bernama