Selasa, 10 November 2009

Penjelasan isu Bai'ah (2) - menolak persepsi dari Utusan Malaysia

Bai'ah jatuh talak tiga terhadap isteri wakil rakyat PAS menjadi isu tumpuan penulis blog hujung minggu lalu, malah Utusan Malaysia menjadikan rencah utama dalam slot berita akhbarnya, sehinggalah kepada terbitannya pada hari ini. Rujuk dibawah. Polemik ini mungkin dimulakan oleh penulis blog zul4kulim yang terkejut dan berterusan terkejut bila mengetahui akan wujudnya bai'ah tersebut.



Penjelasan Isu Bai'ah (2)


Oleh : MRK albanjari/albanjari


Inilah masalahnya apabila ada segelintir penyokong PAS dan ahli PAS yang gagal memahami perjalanan dan perjuangan parti yang mereka dokongi, begitu juga terdapat segelintir blogger yang mengaku sebagai blogger PAS dan mendokongi perjuangan PAS yang turut sama gagal memahami perjalanan dan perjuangan PAS itu sendiri.

Mereka ini sering melihat PAS dari persepsi musuh PAS iaitu Umno, maka kerana itulah PAS ini dipaparkan sebagai parti yang zalim dan sebagainya. Kini isu bai'ah PAS pula menjadi taruhan untuk dijaja serta dijual kepada khalayak, dimana seenaknya mereka mengkritik untuk melemahkan PAS.

Apa masalahnya dengan bai'ah talak tiga itu kepada para pemimpin PAS yang telah memenangi pilihanraya yang kini bergelar YB ADUN atau Ahli Parlimen ? Dimanakah zalimnya ?

Mohon perhati contoh ini, yang mudah untuk difahami. Sejurus kita selesai akad nikah kita akan diwajibkan untuk membaca ikrar atau taklik yang berbunyi
" Apabila saya tinggalkan isteri saya, Safina binti Mochtar selama 4 bulan Hijrah berturut-turut dengan sengaja atau paksaan, atau saya atau wakil saya tiada memberi nafkah yang selayaknya kepadanya selama tempoh masa yang tersebut, pada hal dia taatkan saya, atau saya melakukan sebarang mudarat atau lazim menyakiti tubuh badannya, kemudian dia mengadu kepada Mahkamah Syariah, dan apabila sabit aduannya, di sisi Mahkamah Syariah, dan dia memberi kepada Mahkamah Syariah yang menerima bagi pihak saya SEPULUH RINGGIT maka pada ketika itu tertalaq dia dengan TALAQ KHULU' ( tebus talak ).."
Apa tujuan kita ( para pengantin lelaki ) diwajibkan untuk membaca lafaz taklik berkenaan kemudian menandatangani taklik tersebut sejurus kita selesai akad nikah ?

Antara lain tujuanya ialah untuk menjaga maslahat dan kebajikan isteri supaya para suami tidak menganiayai isteri dengan meninggalkannya sesuka hati kemudian menghalang para suami dari mendera atau memukul isteri disamping memberikan nafkah yang selayaknya kepada para isteri sesuai dengan amanah dan tanggungjawab sebagai seorang suami kepada isterinya.

Langkah yang sama juga diambil oleh PAS untuk menegah dan menghalang setiap pemimpinnya yang telah memenangi kerusi dalam sesuatu pilihanraya agar tidak memudaratkan parti dan warga yang diwakilinya.

Langkah ini diambil setelah pihak PAS melihat sejarahnya yang silam apabila ada sebahagian ADUN-ADUNnya yang melompat parti dan runtuhnya kerajaan PAS di Kelantan dan Terengganu pada satu ketika dahulu akibat dari Adun-Adunnya melompat dan menikam PAS dari belakang.

Setelah melihat insiden melompat parti ini, bakal merubah lanskap politik PAS itu sendiri lalu ia mengambil pandangan daripada gerakan islam di luar negara bagaimana mereka dapat mengikat ahli-ahli dan pemimpin-pemimpin mereka daripada 'khianat kepada gerakan dan parti mereka maka diantaranya bai'ah talak tiga ini adalah salah satu daripada penyelesaiannya.

Bagi saya bai'ah talak tiga ni bukanlah rahsia kepada umum bahkan ia telah kerap kali diulang-ulang dalam siri ceramah di pentas ceramah para pemimpin PAS sejak dahulu lagi, bahkan saya sendiri telah acap kali mendengarnya dalam ceramah pimpinan di sekitar Perak, Selangor dan Pahang sejak sejurus pilihanraya lalu. Bagi mereka yang tidak pernah turun mendengar ceramah PAS tentunya akan merasakan ini adalah perkara baru bagi mereka kerana mereka sibuk menjadi blogger 'pencacai' yang menghentam PAS walaupun mengaku sebagai ahli PAS.

Bagi pengkagum dan ahli UMNO, PKR mahupun DAP mungkin inilah pertama kalinya mereka mendengar tentang isi kandungan bai'ah PAS.

Dalam isi kandungan bai'ah PAS ini bukan setakat isu talak tiga sahaja yang wajar dilihat, malah ia patut dilihat kepada keseluruhan kandungannya, bahkan turut disebut juga antaranya ialah apabila,
"saya mengkhianati parti dan melompat parti maka haramlah segala gaji dan pendapatan saya dan saya wajib meletakan jawatan sebagai ADUN / MP". Setiap perenggan yang terkandung dalam bai'ah ini juga dimulakan dengan lafaz sumpah Wallahi, wa Billahi dan Watallahi seperti layaknya sebagai satu sumpah yang menurut syara..'.

Cuba kita bayangkan hampir tiga tahun kerajaan PAS Kelantan yang mampu bertahan dengan kelebihan 1 kerusi memerintah Kelantan sebelum PRU 12 yang lalu diantaranya adalah kerana lafaz taat setia dan baiah ini. Para pemimpin PAS bergelar ADUN di Kelantan tidak ada seorang pun yang termakan dengan godaan berjuta ringgit dari Umno untuk mereka melompat parti kerana adanya bai'ah seperti ini selain dari taat setia dan amanah terhadap tanggungjawabnya terhadap parti.

Disamping mengikat seseorang pemimpin PAS itu dengan Allah swt. wajar juga ia diikat dengan persekitarannya seperti mengHARAMkan gajinya atau tertalak isterinya adalah merupakan kifarah yang terpaksa ditanggung apabila mereka mengkhianati parti, dan apakah itu tidak setimpal dengan perbuatan mereka?

Lafaz ini hanya akan terpakai apabila seseorang pemimpin PAS itu bertindak melompat parti dan begitu jugalah halnya dengan lafaz taklik perkahwinan kita yang hanya akan terpakai apabila kita meninggalkan isteri kita dalam tempoh yang tertentu atau kita menganiaya mereka dan mereka mengadukan perkara tersebut di mahkamah syariah. Jadi apa masalah besar kepada bai'ah ini ?

Bagi PAS inilah jalan yang terbaik untuk mencegah penyakit 'lompat katak' para pemimpinnya yang bukan mudah-mudah bagi mereka bertenggek dengan kemenangan yang mereka perolehi bersama PAS, dan akan meninggalkan PAS apabila mereka telah bergelar YB.

Zalim kepada wanita ?

Tidak timbul isu menzalimi wanita yang merujuk kepada isteri-isteri YB PAS sekiranya mereka masih istiqamah berjuang bersama PAS begitulah juga kepada pemimpin Muslimat PAS yang telah bergelar YB juga tidak terlepas daripada terus bersama menjunjung dan menggalas perjuangan PAS.

Bagi Umno dan segelintir pemimpin-pemimpin PKR dan para blogger mereka (baca blogger BPN dan sewaktu dengannya) yang tidak puas hati dengan bai'ah PAS ini, itu urusan mereka kerana mereka itu bukannya pemimpin pas yang melafazkan bai'ah tersebut, maka mereka tidak terkesan sedikitpun secara langsung dengannya.

Ada pendapat cukup sekadar lafaz lian dengan sumpah laknat sudah memadai untuk mengawal para pemimpin daripada melompat parti, lihatlah seperti 3 ADUN PKR yang melompat di Perak hingga tumbangnya kerajaan PR Perak dan seorang di Selangor, apa yang parti mereka boleh buat terhadap tindakan mereka ? Bahkan SPR sendiri pun menolak surat akujanji mereka. Maka isu seperti inilah dan kejadian seperti inilah yang menjadi sempadan kepada PAS untuk menjaga kestabilan parti.

Jika tidak sanggup untuk melafazkan bai'ah bersama PAS, maka tidak perlulah mereka ini dinamakan sebagai calon pilihanraya PAS, dan ia boleh diganti dengan nama-nama dan calon-calon lain, apa susahnya ? Yang susah ialah mereka yang dengan sengaja memandang dan memainkan isu ini dari kacamata mereka, lebih-lebih lagi jika mereka ini orang luar dari PAS.

Isu rumahtangga kita, mengapa perlu campur tangan orang ketiga ? Tapi kalau dah namanya musuh, mereka akan sedaya upaya melemahkan dan memporak perandakan keharmonian PAS setelah segala isu yang dijaja sebelum ini berjaya dirungkai satu persatu, maka terciptalah pula isu bai'ah ini, yang mungkin bagi mereka ia boleh meletupkan PAS.

Kepada mereka yang menyokong dan ahli PAS, sepatutnya tidak mempersoalkan bai'ah ini kerana ia bukanlah satu rahsia kepada ahli kerana ia telah diumum dan disebutkan dalam banyak ceramah para pimpinan sebelum ini cuma waktu itu ia mungkin ramai yang tidak perasan dan mendengar sambil lalu sahaja.

Mahukah anda melihat para pemimpin kita yang telah bergelar YB dengan mudah-mudah melompat dan mengkhianati undi anda, dan anda sebagai ahli PAS ? Lihat dengan mata yang terang, otak yang lapang, jika anda sebelumnya bertungkus lumus bekerja untuk memenangkan mereka sebagi calon PAS, tetapi berbaloi-baloikah kerja dan usaha anda sebagai ahli PAS jika setelah kemenangan diraih, mereka semudah Osman melompat parti ? Sekadar contoh. Apakah anda tidak kecewa dan marah terhadap tindakan mereka itu jika pemimpin kita yang kita amanahkan melompat dari PAS ?

Terlalu banyak kebaikannya dari keburukan tentang bai'ah PAS ini kepada ahli dan penyokong serta organisasi PAS itu sendiri.

Kepada mereka yang masih buta hati tentang bai'ah ini, silalah mengundur diri dari terus membicarakan isu bai'ah ini kerana anda sebenarnya bukanlah ahli dan penyokong PAS dan bagi blogger yang mendakwa ahli dan penyokong setia kepada PAS janganlah menulis sesuatu yang anda sendiri tidak menjiwainya, dan janganlah pula anda salah seorang yang dilihatsebagai agen yang merosak dalaman parti !

Kita akan terus wala' kepada pimpinan selagi pimpinan taatkan Allah dan Rasulnya dan selagi pimpinan tidak menyuruh kepada kemungkaran dan menghalang yang makruf. Kita sewajarnya menyokong segala polisi yang difikirkan baik untuk memperkasakan organisasi parti dan bertindak untuk menentang segenap serangan musuh yang teringin melihat PAS porak peranda. Wallahualam.

(*) Artikel ini disunting semula dengan penambahbaikan oleh editor utama. Dilulus untuk siar terbit oleh Ketua Lajnah Penerangan PAS Pusat.

-albanjari Online-

1 ulasan:

Tanpa Nama berkata...

Hairan bin ajaib! Kenapa pemimpin PAS punya berbagai versi menjawap persoalan ini? TGHH sendiri kata pun baru nak siasat? Sila baca di sini