Selasa, 23 Mac 2010

Kisah Mufti Perak

Saya tidak berhasrat menulis dalam blog ini mengenai Sahibus Samahah Dato’ Seri Harusani, saya menghormati kedudukan beliau sebagai ulama dan mufti yang disegani. Antara mufti yang agak lantang suaranya dalam mempertahankan isu-isu yang berkaitan umat Islam seperti gejala murtad, sureheboh dan sebagainya beliaulah orangnya.
Beliau juga sering menjadi jurucakap kepada para mufti seluruh negeri.

PAS sering menyokong kenyataan Mufti yang tegas dalam isu gejala murtad, sureheboh dan sebagainya. Sering juga Mufti Perak tidak setuju dengan PAS dan kerap membidas pandangan pimpinan-pimpinan utama PAS. Namun PAS tetap juga cuba menjalin hubungan yang baik dengan Mufti.

Menghormati kedudukan Mufti sebagai seorang ulama yang tegas dan lantang, PAS Perak kerap juga mengunjungi Dato' Mufti untuk bertukar-tukar fikiran di pejabatnya. Ketika YAB Datuk Tuan Guru Nik Abdul Aziz Nik Mat berkunjung ke Perak dulu, PAS Perak turut mengaturkan kunjungan Tuan Guru ke kediaman Mufti, Tok Guru bersama pimpinan PAS Perak disambut dengan begitu mesra oleh Mufti Perak, dan kami dijamu makan tengahari ketika itu. Begitu juga sebelum itu, ketika Mufti Perak berkunjung ke Kelantan, beliau disambut oleh Tok Guru dan diberi penghormatan menyampaikan ceramah agama di Kelantan.

YB Dato' Seri Hj Nizar sebagai MB Perak bersama beberapa ADUN dari PAS juga berkunjung ke pejabatnya dan juga berkunjung ke kediaman Mufti pada hari raya puasa. Itu semua adalah bagi menjalin hubungan yang baik dengan Mufti. Kerajaan PR cukup menghormati kedudukan beliau sebagai Mufti.

Dalam siri-siri pertemuan tersebut, banyak juga Mufti Perak menceritakan pengalamannya sebagai Kadhi Besar di Pulau Pinang, pernah bertugas di Bukit Aman (tidak pasti apa tugasnya di Bukit Aman) dan di Perak. Menurutnya kelantangan dan sikapnya terhadap sesuatu isu, beliau pernah dilabel pembangkang atau penyokong PAS oleh pihak kerajaan.

Ketegasannya dalam isu murtad dan program sureheboh juga menyebabkan beliau sering menimbulkan rasa tidak senang di kalangan pimpinan UMNO BN terutama Dr. Mahathir. Menurutnya beliau pernah dihalang menyampaikan ceramah di sebuah masjid di Bangi atas arahan pihak atasan,ketika itu Khir Toyolah MBnya. Ketika beliau tidak disenangi oleh pemimpin UMNO ketika itu di atas kelantangan dan sikapnya dalam isu murtad dan sureheboh, PASlah yang membela dan menyokong Mufti Perak. Tidak ada seorang pun pemimpin UMNO yang membuat kenyataan menyokongnya.

Sejak akhir-akhir ini kenyataan dan sikapnya terang-terangan menunjukkan beliau tidak puas hati dengan PAS, Pakatan Rakyat dan YB Hj Nizar sendiri. Walaupun sebelum ini beliau pernah membuat kenyataan tidak menyebelahi mana-mana parti politik, tetapi kenyataannya jelas menunjukkan beliau menyokong UMNO BN.

Mufti Perak tidak pernah mengambil pengajaran dari sikap UMNO yang anti Islam dan ulama. Kita pasti Mufti Perak tahu sangat yang UMNO terutamanya pemimpinnya tidak faham Islam, malahan anti kepada para ulama. Beliau juga tahu, ada pemimpin UMNO yang mahu menyingkirkannya sebagai Mufti di Perak, namun kerana jawatan Mufti di bawah kuasa Sultan, selagi baginda mahu kepadanya, selagi itulah UMNO tidak boleh berbuat apa.

Sebenarnya Mufti Perak berkecil hati dengan PAS dan kerajaan PR. Ia bermula apabila keputusan pilihanraya 2008, UMNO BN tidak boleh membentuk kerajaan kerana hilang majoriti kerusi dewan undangan negeri. Ketika itu, tidak ada satu parti pun yang boleh bentuk kerajaan melainkan bergabung dengan parti-parti lain. UMNO di Perak menggelabah. Mereka menggunakan Harusani untuk memujuk PAS membentuk kerajaan campuran. Beliau mendakwa berjumpa Mursyidul AM di Kelantan bagi menyampaikan hasrat UMNO Perak, beliau juga mendakwa sudah bercakap dengan Presiden PAS dan Timbalan Mursyidul AM. Beliau juga ada menghubungi Ust Ahmad Awang sebagai PJ Perak. Beliau membangkitkan sentimen Melayu dan Islam dalam hujjahnya bagi membolehkan PAS bekerjasama dengan UMNO BN.

Namun PAS menolak pelawaan itu atas dasar pengalaman bersama UMNO BN dulu mengajar PAS untuk lebih berhati-hati. PAS tidak mahu mengulangi sejarah hitam tahun 1974-1978. PAS disingkirkan dari BN 1978 selepas mereka berjaya memecah belahkan PAS terutamanya di Kelantan.

Pemerintahan UMNO BN yang panjang menerajui negara juga membuktikan UMNO BN tidak boleh diharap membela Melayu dan Islam. UMNO BNlah yang menyebabkan Melayu hilang segala-galanya, beratus ribu hektar tanah orang Melayu digadai kepada bukan Melayu angkara UMNO BN. UMNO BNlah penyebab hilangnya biasiswa kepada anak-anak orang Melayu di IPT, UMNO BNlah penyebab quota bumiputera berkurangan di IPT, UMNO BNlah yang menghapuskan pengajaran Matematik dan Sains dalam Bahasa Melayu, UMNO BNlah yang menghapuskan kuasa Raja-raja Melayu, UMNO BNlah penyebab berlakunya gejala murtad dan gejaa sosial yang cukup parah kepada orang Melayu, UMNO BNlah yang menghentikan bantuan perkapitan kepada Sekolah Agama Rakyat di seluruh negara.

Sebaliknya UMNO BN hanya membela dan memajukan serta mengkayakan pemimpin UMNO dan kroni-kroni mereka. Pengkhianatan UMNO BN terhadap Islam dan Melayu tidak boleh disangkal, Harusani tahu semua ini. Tiba-tiba, beliau meletakkan harapan kepada UMNO BN untuk membela Melayu dan Islam.

Setelah UMNO BN ditolak oleh 54% rakyat Perak, Harusani cuba muncul untuk menaikan semula imej UMNO BN bagi membela Melayu dan Islam. Sebenarnya Harusani dipergunakan oleh UMNO BN bagi menaikkan semula sokongan rakyat kepada mereka dengan cuba membangkitkan sentimen Melayu Islam. Harusani sahaja yang tidak sedar diri yang dia diperguna.

Harusani gagal memujuk dan mempengaruhi PAS untuk membentuk kerajaan campuran BN + PAS di Perak. Beliau sangat kecil hati kepada PAS terutamanya Ust Ahmad Awang yang menolak mentah-mentah cadangan itu.

Beliau juga berkecil hati terhadap Hj Nizar sebagai MB yang telah menolak permohonannya supaya kerajaan negeri menanggung perbelanjaan perjalanan isterinya ke negeri Cina. Ketika itu, beliau mengikuti satu program lawatan ke Cina atas anjuran JAKIM, pemergian beliau ditaja sepenuhnya oleh JAKIM.

-misabah.blogspot-

Tiada ulasan: