Ahad, 4 Julai 2010

Laungan Tak Nak Judi bergema di masjid negara



KUALA LUMPUR, 3 Julai: Lebih 3 000 membanjiri perkarangan masjid negara hari ini bagi menyatakan bantahan tak nak judi kepada kerajaan.

Berucap di perhimpunan tersebut Pengerusi GMJ Cikgu Azmi bin Abd Hamid, Setiausaha Suhaizan Kayat dan Ketua Dewan Pemuda PAS Pusat Nasruddin Hasan.

Pada himpunan itu juga turut dilancarkan kempen Tak Nak Judi dan buku Tak Nak Judi.

Gerakan Membantah Judi juga tidak akan berkompromi dengan segala bentuk judi yang melibatkan kanak-kanak dan belia sebelum ianya membarah dalam masyarakat.

Azmi berkata, lesen berkaitan judi meliabatkan golongan berkenaan mesti dihentikan serta-merta.

"Ada pun judi yang melibatkan kanak-kanak dan belia, yang itu memang sama sekali kita tidak ada kompromi.

"Sudah sampai masanya generasi muda mesti dibersihkan daripada judi dan sebarang lesen yang berkaitan judi yang membolehkan kanak-anak dan belia terlibat dengan judi, kita mesti hentikan serta merta tanpa kompromi kerana kanak-kanak tidak tahu apa-apa," katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media ringkas selepas selesai merasmikan perhimpunan Tak Nak Judi di perkarangan Masjid Negara petang tadi.

Beliau yang juga presiden Teras Pengupayaan Melayu (TERAS) turut berkata, pihak GMJ membuat keputusan meneruskan kempen Tak Nak Judi itu untuk memberikan kesedaran secara serius kepada masyarakat tentang bahana judi.

"Kita buat keputusan kempen ini penting kerana kita nak menyebarkan kesedaran yang serius dan bersungguh bahawa judi ini tidak bermanfaat sama sekali baik dari sudut ekonomi, sosial, dan keluarga," katanya.

Justeru katanya, kempen berkenaan yang secara rasminya bermula hari ini akan berterusan sehingga tahun hadapan dengan pelbagai program kesedaran di setiap negeri.

"Yang penting kita mendidik kesedaran ini. Kita tunjukkan semua bukti apa kesan kepada mereka yang terlibat dengan judi. Apa kesan kepada ekonomi dan budaya."

"Jadi kita akan teruskan kempen ini sepanjang tahun sehingga tahun hadapan. Kita akan bagi kesedaran kepada kaum ibu, golongan profesional dan pekerja-pekerja melalui progaram ceramah, edar risalah dn poster dan akan dilakukan di setiap negeri," katanya lagi.

Sebelum itu, seramai kira-kira 3 000 orang membanjiri perkarangan Masjid Negara bagi menyatakan bantahan tak nak judi kepada kerajaan. Himpunan tadi bermula dengan solat Asar berjemaah di Masjid Negara.

Mereka kemudian berhimpun di perkarangan masjid bagi mendengar ucapan dari penganjur dan pimpinan Pakatan Rakyat.Himpunan yang pada mulanya dijadualkan pada jam dua petang itu ditangguhkan ke jam lima petang tadi bagi menghormati majlis pengkebumian Allahyaraham Toh Puan Norashikin Mohd Seth yang merupakan balu kepada bekas timbalan perdana menteri Malaysia, Allahyarham Tun Dr. Ismail Abdul Rahman.

Pada perhimpuan tersebut, Mohd Azmi turut melancarkan buku terbitan GMJ, berkaitan kesan judi kepada masyarakat.Golongan muda dilihat mendominasi perhimpunan aman yang dikawal kira-kira 50 anggota polis itu.

Laungan 'Kami tak nak judi, kami benci judi', 'tolak judi, jauhi judi' dan beberapa slogan lagi bergema di perhimpunan itu.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Nasrudi Hassan dalam pidatonya berkata, atas dasar agama, GMJ bertanggungjawab menyedarkan rakyat bahawa judi merupakan amalan yang ditolak oleh semua agama, apatah lagi bagi yang beragama Islam.

Turut berucap di himpunan itu termasuk ketua penerangan pemuda PAS, Suhaizan Kaiyat yang juga setiausaha GMJ, Ketua Pemuda PKR Syamsul Iskandar Mat Akin, selain wakil daripada Jemaah Islah Malaysia (Jim), Gabungan Mahasiswa Islam SeMalaysia (Gamis), Angkatan Belia Islam Malaysia (Abim) dan juga Persatuan Kebangsaan Pelajar Islam Malaysia (PKPIM).

Mengggamatkan suasana apabila Shamsul melaungkan 'Najib judi, Rosmah judi, Umno pun judi'.Himpunan berkenaan berakhir kira-kira jam enam petang dengan bacaan doa oleh exco pemuda PAS Pusat, Nik Abduh Nik Abdul Aziz

-harakahdaily-

Tiada ulasan: