Khamis, 25 November 2010

Isu Ancak Zambry: Pemuda Pas sekali lagi nyatakan sedia debat

IPOH, 25 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) mencabar semua pengendali laman web atau blogger pro Umno BN agar berdepan bersama di atas satu pentas untuk mengemukakan hujah-hujah mereka jika benar-benar berani bersemuka berhubung ancak tiang seri.

Ketuanya, Zawawi Hassan berkata, ini kerana pihaknya melihat trend penyokong Umno BN yang mengendalikan laman web atau blog pro parti itu sedang menunjukkan mereka di pihak benar dengan memberikan hujah-hujah terutama berkaitan tindakan yang dibuat oleh Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir semasa menghadiri dan melakukan upacara meletakkan ancak ke tiang seri program Projek Infra Bina Upaya (IBU) di Kampung Guar, Manong pada 17 Oktober yang lalu.

DPPN Pk, katanya mengalu-alukan terutama pengendali laman web peraktoday.com dan juga bloggertaipingmali.blogspot.com agar menerima saranan berdebat tersebut.

Beliau menambah, DPPN Pk merasakan trend hujah satu hala itu tidak profesional dan menganggapkan berdebat atas satu pentas adalah lebih matang lagi bersifat profesional.

“Mengapa takut jika mereka benar-benar mampu mengemukakan sebarang hujah berkaitan kenyataan DPPN Pk?” soalnya dalam satu kenyataan di sini.

Di atas pentas tersebut, tambahnya masing-masing boleh mengemukakan hujah dan lebih matang serta bersifat berani dengan hujah tersebut.

Tegasnya, DPPN Pk akan menunggu persetujuan bersama untuk berdebat atas satu pentas nanti.

“DPPN Pk berharap mereka tidak takut malah berani untuk menyahut cabaran ini. Bagi DPPN Pk, sama-samalah kita menanti apakah hujah mereka selepas ini,” katanya lagi.

-Harakahdaily-

Isnin, 8 November 2010

Pemuda Perak sedia bersemuka dengan Zambry


IPOH, 8 Nov: Dewan Pemuda PAS Negeri Perak bersedia untuk menjelaskan dakwaan bahawa tindakan Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir jelas mendokong amalan syirik yang bertentangan dengan ajaran Islam.

Setiausahanya, Dr Raja Ahmad Al-Hiss ingin menarik perhatian Zambry berhubung kenyataan meminta pendirian mereka berikutan dakwaan terhadap perbuatan menteri besar itu yang jelas membudayakan kembali unsur syirik dan khurafat dalam amalan orang Melayu.

Justeru, katanya pihak Pemuda PAS negeri amat berbesar hati atas permintaan Zambry yang ingin mendapatkan penjelasan terhadap dakwaan beliau kepada Datuk Seri Ir Mohammad Nizar Jamaluddin.

“Pihak kami bersedia bersemuka dengan YAB Datuk Seri bagi menjelaskan perkara tersebut,” ujarnya di dalam emel yang dihantar kepada Zambry, hari ini.

Oleh yang demikian, katanya pihak Pemuda PAS negeri sedia menerima cabaran Zambry untuk menjelaskan pendirian.

Bagaimanapun, tambahnya ianya mestilah dibuat dalam satu pentas bersama bagi memberi peluang kepada rakyat dan umat Islam memahami dan menilai isu yang cuba diselewengkan oleh Barisan Nasional (BN).

Justeru, katanya pihak Pemuda PAS negeri menantikan persetujuan pihak Zambry bagi menetapkan apa sahaja kaedah pentas tersebut dan sesuai dengan masanya.

Beliau menambah, jika Zambry gagal memberikan sebarang respons bermakna menteri besar itu bersetuju dengan dakwaan Pemuda PAS negeri.

Bagaimanapun, ujarnya Zambry masih ingin mempertahankan perbuatan yang bercanggah dengan ajaran Islam yang sebenar dan jelas lari daripada akidah Islam.

-Harakahdaily-