Jumaat, 31 Julai 2009

Ayuh !! ke Istana Negara

Assalamualaikum,

Ayuh saudara,ayuh teman,ayuh kawan..ayuh sesiapa saja !!

Esok kita ke Istana Negara bersama-sama.Kita persembahkan suara hati rakyat tertindas mangsa kezaliman akta ISA kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang DiPertuan Agung.

Sekarang bukan masa kita berpeluk tubuh disaat mangsa-mangsa akta zalim ini sedang menderita.

Hari ini kita menolong,hari esok kita ditolong.

Perbetulkan niat.Mulakan langkah dengan baik.Pastikan kita sampai ke Istana Negara esok.

MANSUH ! MANSUH ! MANSUH ISA !
JAHANAM ! JAHANAM ! JAHANAM ISA !

-Nur12-

Takziah.Al-Fatihah

Hari ini hari Jumaat 9 Syaaban 1430H bersamaan 31 Julai 2009.

Parti Islam SeMalaysia (PAS) sekali lagi menerima berita duka dengan pemergian ke rahmatillah salah seorang pejuang tulennya Al-Marhum Dato Hamdan Abd. Rahmah,Adun Permatang Pasir pada pagi tadi.

Al-Marhum memang tidak asing lagi buat mereka yang berada dalam saf ini khususnya di Pulau Pinang.Beliau begitu dikenali bersemangat kental,berkebajikan,dan merendah diri.

Dppkl ingin mengambil kesempatan di sini untuk merakamkan ucapan ta'ziah kepeda seluruh ahli keluarga Allahyarham,moga bersabar dan tabah hadapi dugaan ini.Dan sama-sama kita berdoa agar Allahyarham ditempatkan bersama para salihin dan syuhada,dan mendapat pengampunan Rabbul Jalil.Amin.

Sekalung ucapan ta'ziah juga buat Ust Misbahul Munir (Setiausaha BPP Pk) sekeluarga atas pemergian adinda beliau juga pada hari ini.Al-Fatihah.


-Nur12-

Menjelang 1 Ogos: Jangan terpedaya dengan ugutan, perhimpunan MANSUH diteruskan


KUALA LUMPUR, 30 Julai (Hrkh) - Orang ramai diingatkan agar tidak terpengaruh dengan sebarang ugutan dan khabar angin yang mahu menggagalkan perhimpunan MANSUH 1 Ogos nanti.

Komander perhimpunan tersebut yang juga Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayob menegaskan, perhimpunan aman dan perarakan ke Istana Negara untuk menyerahkan deklarasi rakyat menentang penggunaan akta zalim ISA akan tetap diadakan pada 1 Ogos nanti bermula jam 2.00 petang.

Beliau seterusnya menyeru seluruh rakyat Malaysia yang bencikan kezaliman dan menyokong akta rimba itu dimansuhkan agar meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur untuk berhimpunan pada Sabtu nanti.

"Jangan terpedaya atau terpengaruh dengan mana-mana ugutan atau khabar angin yang mengatakan perhimpunan tersebut dibatalkan kerana pihak GMI dan Sekretariat Perhimpunan MANSUH akan tetap meneruskan perhimpunan dan perarakan pada Sabtu nanti.

"Saya menyeru seluruh rakyat Malaysia yang menyokong akta ISA dihapuskan dan mahu bersama berhimpun agar meneruskan perjalanan ke Kuala Lumpur biarpun terdapat banyak sekatan jalan raya," ujar beliau.

Salahuddin juga menjelaskan, hanya arahan daripada komander-komander yang bertugas dan Unit Amal sahaja harus diterima oleh seluruh peserta pehimpunan MANSUH bukan dari pihak lain.

Perhimpunan MANSUH 1 Ogos nanti diadakan dengan tujuan untuk membantah pengunaan akta zalim ISA dan satu deklarasi rakyat akan diserahkan kepada Yang Dipertuan Agong untuk menyatakan sokongan agar akta tersebut dimansuhkan.

-harakahdaily-

Khamis, 30 Julai 2009

Menjelang 1 Ogos: HARAMKAN AKTA ZALIM ISA


Kenyataan Media (30 Julai 2009)

Dewan Pemuda PAS Negeri Perak (DPPN Pk) kecewa dengan kenyataan Mufti Perak, Tan Sri Harussani Zakaria kerana masih tidak menolak bahawa perlaksanaan Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) yang telah digubal pada tahun 1960 dan yang masih dijalankan selama 49 tahun adalah lebih zalim dan perlu diharamkan.

DPPN Pk mencabar Tan Sri Harussani dan juga Majlis Fatwa Kebangsaan serta Mufti seluruh negeri supaya mengeluarkan fatwa tentang Akta ISA ini yang telah banyak menzalimi rakyat kerana telah menghukum tanpa membicarakannya dan ianya salah disisi Agama Islam.


Persoalan yang sepatutnya timbul adalah kezaliman Akta ISA yang telah diamalkan itu, bukannya membantah Akta ISA itu sebagai yang haram. Parkara yang penting sekarang ini adalah, mengapa kezaliman ini masih diteruskan?

DPPN Pk mempertegaskan bahawa usaha untuk menghapuskan kezaliman mesti ditegakkan. Himpunan sebagai protes untuk memastikan seluruh rakyat akan hidup aman tanpa kezaliman yang telah dibuat oleh kerajaan akan diselamatkan.

Oleh yang demikian, DPPN Pk menyeru seluruh rakyat yang membantah kezaliman mesti tampil untuk nyatakan kebenaran kerana menyahut seruan Nabi SAW "Jihad yang paling afdhal ialah perkataan benar di hadapan pemerintah yang zalim" bukan perkataan yang berani di hadapan rakyat yang ditindas


MOHD AKMAL KAMARUDIN

Ketua Penerangan,
Dewan Pemuda PAS Perak

Menjelang 1 Ogos: Solat Hajat mohon Himpunan MANSUH berjaya


KUALA LUMPUR, 30 Julai (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad menyeru seluruh ahli PAS mengadakan Solat Hajat sempena Himpunan Mansuh ISA 1 Ogos ini.

PAS katanya menyokong penuh Himpunan Mansuhkan ISA pada 1 Ogos 2009 di Kuala Lumpur dan sehubungan dengan itu, sebagai persiapan terakhir seluruh ahli dan penyokong PAS diseru untuk mengadakan solat hajat di masjid surau dan markas parti pada hari ini (Khamis) dan hari Jumaat ini.

"Marilah kita sama-sama berdoa semoga Himpunan Aman Mansuhkan ISA pada 1 Ogos ini akan berjalan dengan lancar dan aman," ujar Ustaz Idris

Seluruh rakyat digesa turut hadir dengan pakaian 'Hitam Merah' sebagai lambang soladariti dan sokongan kepada mangsa-mangsa ISA, katanya.


-harakahdaily-

Menjelang 1 Ogos: Lebih ramai Unit Amal ditempatkan di Masjid Negara


KUALA LUMPUR, 30 Julai (Hrkh) - Kawalan Keselamatan sempena Himpunan Mansuhkan ISA 1 Ogos ini akan dikendalikan oleh Unit Amal Pusat dan dibantu oleh Unit Amal Wilayah bersama negeri-negeri lain.

Timbalan Pengerusi 3 Unit Amal Pusat, Syaripuddin Mat Yatim mengesahkan setakat ini lebih 1000 ahli Unit Amal akan hadir bertugas.

Beliau yang dikenali sebagai Abg Chem juga mengesahkan bahawa Unit Amal akan mengangihkan anggota mereka ditiga tempat iaitu SOGO, Masjid Jamek dan Masjid Negara.

Lebih ramai Unit Amal akan diletakkan di Masjid Negara bagi membantu mengawal keselamatan dan mengelakkan pertembungan antara penyokong GMI dan Pro-ISA yang akan berhimpun ditempat yang sama.

Beliau menyarankan agar Penyokong GMI dapat berkumpul di anjung kanan Masjid Negara yang berhadapan dengan bangunan Dayabumi.

Beliau memberikan jaminan bahawa perhimpunan berkenaan akan berjalan dengan aman dan terkawal. Kerjasama semua peserta amat diharapkan bagi mengelakkan sebarang masalah berbangkit.

-harakahdaily-

MAKLUMAN PERGERAKAN HIMPUNAN AMAN MANSUHKAN ISA PADA 01 OGOS 2009

1. Bagi melancarkan Himpunan Aman Mansuhkan ISA pada 01 Ogos 2009, Sekretariat Himpunan Aman Mansuhkan ISA mengumumkan tempat berhimpun dan pergerakan himpunan seperti berikut:

Ø Tempat berhimpun dan negeri-negeri berkaitan:


a. Sogo:
Perlis, Kedah, Pulau Pinang dan Perak

b. Masjid Jame’ Kuala Lumpur:
Kelantan, Terengganu, Pahang dan Wilayah Persekutuan

c. Masjid Negara:
Johor, Melaka, Negeri Sembilan dan Selangor.

Ø Peserta-peserta himpunan aman dikehendaki berkumpul mengikut negeri masing-masing


2. Perarakan ke Istana Negara akan dimulakan tepat jam 2 petang untuk menyerahkan Deklarasi Rakyat membantah undang-undang zalim ISA

3. Semua peserta dikehendaki mengikut arahan pihak keselamatan (JABATAN AMAL) yang berpakaian merah

4. Peserta digalakkan masuk awal ke Bandaraya Kuala Lumpur dengan meggunakan kenderaan awam untuk mengelakkan kesesakan


Sekian,


KAMARUZAMAN BIN MOHAMAD
Timbalan Pengarah Himpunan Mansuh ISA,
Setiausaha Dewan Pemuda PAS Pusat.


-http://dppwp.wordpress.com-

Rabu, 29 Julai 2009

Semua dijemput ke 'Himpunan Bubar Dun Perak' pada 2 Ogos

KUALA LUMPUR, 29 Julai (Hrkh) - Sempena memperingati kemelut pencabulan demokrasi di Perak, Pemuda PAS Perak akan mengadakan satu program Himpunan Pemuda PAS Perak bertemakan '1 Hitam Perak-Bubarkan Dun Perak'.

Program tersebut akan diadakan pada 2 Ogos, jam 11 pagi sehingga 4 petang di Markas PAS Kawasan Bagan Serai.

Antara pimpinan yang bakal menyampaikan pidato pada sebelah siangnya adalah Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub; Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad; AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu dan Dato' Seri Ir Mohamed Nizar Jamaludin.

Kemudian, pada sesi malamnya, terdapat beberapa ceramah yang diadakan di zon-zon tertentu.

Di Zon 1 iaitu sekitar Larut, ceramah akan disampaikan AJK PAS Pusat, Mohamad Sabu; Penolong Setiausaha Pemuda PAS Pusat, Kamaruzaman Mohammad; AJK DPPP, Adram Musa; Salman Saleh, Ustaz Nazri Din serta beberapa Exco Pemuda PAS Perak.

Manakala di Zon 2, Sungai Siput pula, barisan penceramahnya terdiri daripada Ketua Penerangan PAS Pusat, Ustaz Idris Ahmad; Timbalan Ketua DPPP, Ustaz Azman Shapawi; Exco DPPP, Suhaizan Kaiat; Tengku Ahmad Al-Hiss serta Zairul Tambun selain beberapa Exco Pemuda PAS Perak.

Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Nasrudin Hasan Tantawi pula dijangka menyampaikan ceramah di Zon 3 yakni di Lumut bersama exconya yang lain iaitu, Ustaz Kamal Shaari, Ustaz Zawawi Hassan dan Ustaz Akmal As-Suri

Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Ahmad Sabki Yusof bersama exconya, Khairul Faizi Ahmad Kamil, Ustaz Mohd Nur Amin, Aminudin Lawyer dan ahli parlimen Jerai, Ustaz Firdaus Jaafar di Zon 4 iaitu di Tanjung Malim selain beberapa exco pemuda PAS Perak.

Program ini adalah bertemakan pakaian hitam sebagai tanda era kegelapan pada sistem demokrasi di Perak.


-http://dppperak.blogspot.com

Menjelang 1 Ogos: GMI tolak jumpa polis hari ini

Pengerusi Gerakan Mansuhkan ISA (GMI), Syed Ibrahim Syed Noh berkata pihaknya tidak akan menghadiri perjumpaan dengan pihak polis petang ini berhubung arahan supaya membatalkan perhimpunan anti-ISA anjurannya, Sabtu ini.

Beliau berkata, tidak bermakna bagi GMI menghadiri perjumpaan tersebut, "kerana pihak polis pun sudah memberi amaran".

Lagi pula, kata beliau, pihaknya sedang sibuk membuat persiapan untuk mengadakan perhimpunan tersebut.

Sebaliknya, kata Syed Ibrahim, GMI akan menghantar surat rasmi untuk memaklumkan matlamat dan tujuan perhimpunan itu diadakan Sabtu ini.

Beliau mengesahkan pihaknya dihubungi oleh pihak polis supaya hadir di ibupejabat polis kontinjen Kuala Lumpur jam 2.30 petang ini.

Semalam, Ketua Polis Kuala Lumpur, Datuk Muhammad Sabtu Osman mengarahkan GMI dan Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) supaya membatalkan rancangan mereka untuk mengadakan perhimpunan ISA Sabtu ini.

Muhammad Sabtu berkata, polis telah memaklumkan perkara itu kepada Pewaris kelmarin dan akan menemui GMI hari ini.


-malaysiakini-

Bulan Syaaban

Usamah bin Zaid berkata: "Aku bertanya kepada Rasulullah s.a.w: Wahai Rasulullah,aku tidak pernah melihat engkau berpuasa sebulan seperti mana engkau berpuasa pada bulan Syaaban.Jawab Nabi: Itulah bulan di mana manusia mengabaikannya iaitu bulan antara Rejab dan Ramadan (Syaaban).Ia adalah bulan di mana segala amalan akan diangkat kepada Tuhan sekalian alam dan Aku suka amalan ku diangkat dalam keadaan aku berpuasa".(An-Nasa'i dan Ahmad).

Selain dari berpuasa,antara amalan-amalan yang elok dilakukan pada bulan Syaaban khususnya pada tahun ini ialah :

1. Baca & tafsir Al-Qur'an dan Al-Hadis
2. Melipat gandakan usaha murni membantu golongan daif dan miskin
3. Berzikir & Berselawat
4. Himpunan Mansuh ISA pada Sabtu 1 Ogos (membantu mangsa kezaliman)
5. Himpunan Bubar Dun Perak Ahad 2 Ogos (menegakkan keadilan)

Sama-samalah kita merebut peluang di bulan Syaaban ini sebagai persediaan menyambut Ramadan Al-Mubarak.


-Nur12-

-Ketua Lajnah Penerangan&Dakwah Dppkl-

Selasa, 28 Julai 2009

Pelancaran Program 'Sekampit Beras,Sekilo Gula' Sempena Ramadan 1430

Malam tadi bersempena dengan program usrah bulanan Dppkl telah diadakan majlis pelancaran program kebajikan 'Sekampit Beras,Sekilo Gula' sempena menghadapi bulan Ramadan Al-Mubarak 1430.

Majlis telah disempurnakan oleh Af. Us. Muhammad Ghani selaku naqib usrah merangkap Timbalan Ydp Pas kawasan Lumut.

Dalam acara simbolik yang diadakan Us. Muhammad telah diberi penghormatan untuk menyerahkan beras sekampit dan gula sekilo kepada Sdr. Ahmad Bakee selaku Ketua Lajnah Kebajikan Dppkl.

Maka dengan ini pihak Lajnah Kebajikan Dppkl ingin menyeru dan amat mengalu-alukan masyarakat budiman sekelian untuk menghulurkan sebarang bantuan sekadar yang termampu bagi membolehkan kita menolong saudara-saudara kita yang kurang bernasib baik khususnya bagi menghadapi bulan puasa yang semakin hampir.

Sumbangan bolehlah dihulurkan terus kepada Sdr. Ahmad Bakee (017-5898881),Sdr. Hj. Meor Fawi (012-5061416) dan Sdr. Nizamudin Majidi (019-5714315) atau boleh membuat sumbangan terus ke akaun Dppkl :

BIMB - 8059010000723
(atas nama Dewan Pemuda Pas Kawasan Lumut)

InsyaAllah sumbangan dari tuan-tuan dan puan-puan sekalian akan disalurkan setulus-tulusnya kepada golongan yang memerlukan (dhuafa' dan masakin) yang telah dikenal pasti di sekitar kawasan Lumut.

Dengan ini pihak Dppkl ingin merakam setinggi-tinggi ucapan terima kasih atas sebarang sumbangan yang dihulurkan oleh tuan-tuan sekalian.Moga Allah melipat gandakan rezki kepada para budiman sekelian.






-Nur12-

Isnin, 27 Julai 2009

Hari Keluarga Pas Kawasan Lumut 09

Antara kekuatan jamaah terletak pada ukhuwwah ahlinya.Itulah yang dijelmakan pada pagi kelmarin apabila hampir 300 orang ahli Pas Kawasan Lumut hadir pada program Hari Keluarga yang diadakan di kawasan perkhelahan yang tidak asing lagi di Lumut iaitu di Teluk Senangin.

Program anjuran Lujnah Penerangan ini telah berjaya menarik kehadiran ibu bapa beserta anak-anak masing-masing yang datang dari seluruh cawangan-cawangan Pas Kawasan Lumut.Walaupun pada paginya hujan turun dengan lebat tetapi ini tidak sedikit pun melunturkan semangat mereka untuk hadir ke program tersebut.

Program telah dirasmikan oleh Yb. Ds. Nizar Jamaluddin.Beliau hadir dengan ditemani isteri dan anak-anak beliau.Ds. Nizar sewaktu berucap merasmikan program ini telah memaklumkan beberapa perkembangan terkini politik negeri Perak termasuk isu 'lilin' yang sedang hangat diperkatakan.Beliau mengambil kesempatan untuk menjelaskan keadaan sebenar yang berlaku.Beliau juga turut menyentuh isu pembubaran Dun Perak.Menurut katanya pembubaran Dun Perak pasti akan berlaku dalam jangka waktu terdekat ini.Justru itu beliau meminta seluruh ahli Pas khususnya di sini supaya bersiap sedia untuk menghadapi segala kemungkinan jika Dun dububarkan dalam masa terdekat ini.Beliau telah menyuntik kata-kata semangat kepada seluruh ahli Pas yang hadir agar menjadikan program hari keluarga ini sebagai persediaan pertama untuk menghadapi pilihanraya negeri Perak.

Semetara itu pihak penganjur program telah menyediakan beberapa acara dan pengisian program yang berbentuk santai untuk meraikan para hadirin.Beberapa acara tersebut seperti memancing, bola sepak dan bola tampar pantai untuk dewasa,mencari benda tersembunyi untuk muslimat dan tak lupa juga beberapa acara untuk peserta kanak-kanak.

Program telah bermula seawal jam 8 pagi dan berakhir pada jam 2.30 petang.

Pihak penganjur juga telah menyediakan sarapan pagi dan makan tengahari yang disediakan secara bergotong-royong oleh semua cawangan Pas di Lumut.

Kesimpulannya cukup meriah sekali.Berikut gambar-gambar yang sempat dirakam untuk tatapan umum.


































-Nur12-

Khamis, 23 Julai 2009

Isunya ialah kematian Teoh Beng Hock

Tidak perlu dibangkitkan isu Ds. Nizar pegang lilin kerana ini bukan isu.Orang yang cuba membangkitkan isu ini sebenarnya orang itu sudah bangkrap idea.

Isunya ialah kematian Teoh Beng Hock,seorang rakyat Malaysia berbangsa Tionghua.Beliau ialah setpol kepada salah seorang exco kerajaan negeri Selangor.Beliau ditemui mati selepas memberi keterangan kepada SPRM berhubung siasatan peruntukan kerajaan negeri.

Beliau ditemui mati di dalam premis milik SPRM.Kematiannya amat meragukan malah amat luar biasa sekali.Rakyat terutama ibu dan bapa Teoh masih tertanya-tanya dan sehingga kehari ini belum mendapat jawapan dari pihak berwajib yang bertanggung jawab ke atas Teoh pada waktu itu.

Sehinggalah kelmarin PM umum penubuhan Suruhan Jaya Siasatan Awam.Itupun setelah bertubi-tubi didesak pelbagai pihak termasuk dari penyokong kerajaan sendiri.

Sepatutnya jika kerajaan itu ada rasa kebertanggungjawaban Suruhanjaya ini telah wujud pada hari pertama lagi mayat Teoh ditemui.Tapi itulah sikap kerajaan Malaysia dari dulu hingga sekarang,tak berubah-rubah walau pun orangnya sentiasa berubah.

PM dalam pada itu terus menerus menjaja gagasan barunya 1MALAYSIA.'Rakyat didahulukan,pencapaian diutamakan'.Sepatutnya inilah masanya untuk PM buktikan gagasan barunya itu benar-benar sesuatu yang realiti,bukannya selogan kosong semata-mata.Tetapi tindakan kerajaan terus mengelirukan rakyat.

Dalam isu Ds. Nizar,Zambry sebenarnya cuba menangguk di air yang keruh.Beliau orang pertama yang membangkitkan isu ini.

Apakah dengan membangkitkan isu ini maka isu kematian Teoh akan selesai?

Oh sekarang dah pandai nak rujuk ulama.Dah pandai sebut pasal fatwa.Dah pandai berkira halal haram.Pooorahhh...

Saya bukan nak menjawab Dr. Zambry.Siapalah saya nak menjawab beliau.Tapi cukuplah dengan jawapan MB Kelantan dengan katanya "Zambry ini orang politik bukan orang kaji Islam. Apa kena mengena dengan fatwa agama, fatwa demokrasi pun (beliau) tak pakai, itu pandangan saya. Dia orang politik, saya jawab cara politiklah"."Siapa yang halau menteri besar dan rampas dewan (Dun Perak) ?"

Tuan-tuan boleh nilai sendiri.


-Nur12-
(Ketua Penerangan&Dakwah Dppkl)

Selasa, 21 Julai 2009

Menjelang 1 Ogos: Beberapa Ngo (tajaan Umno) akan berdemo 'Sokong ISA' juga pada 1 Ogos

Demonstrasi menentang Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dan pakatan pembangkang bakal bertembung dengan ribuan pendukung akta kontroversi itu, 1 Ogos ini.

Majlis Permuafakatan Ummah (Pewaris) bersama sepuluh NGO Melayu bakal memimpin "rakyat Malaysia yang cintakan keamanan" berhimpun di Pasar Seni di ibu negara bagi menunjukkan sokongan mereka terhadap ISA.

Timbalan Presiden II Pewaris, Rahimuddin Md Harun ketika dihubungi Malaysiakini mengesahkan rancangan itu.

Katanya, dengan berpakaian putih, mereka akan berhimpun pada jam 1 tengah hari dan mengumpulkan tandatangan orang ramai meminta kerajaan mengekalkan akta tersebut.

"Kita juga bercadang hantar memorandum (mengekalkan ISA) kepada Yang di-Pertuan Agong jika dibenarkan," katanya.

Perhimpunan tersebut yang bertemakan "1Malaysia, Selamatkan Malaysia, Kekalkan ISA dan Pertahankan Hak Keistimewaan Orang Melayu" dibuat serentak dengan Himpunan MANSUH anjuran GMI yang ingin berarak ke Istana Negara.

GMI, yang didukung parti pembangkang utama dan NGO hak asasi, memilih tiga lokasi yang selama ini menjadi pusat perhimpunan anti-kerajaan - kompleks membeli-belah Sogo, Masjid Jamek dan KL Sentral – sebelum menyerahkan memorandum kepada Yang di-Pertuan Agong.

Mereka mengarahkan semua penentang ISA berpakaian merah dan hitam sebagai simbol bantahan.

Perhimpunan itu dijangka bertukar pentas untuk menuntut keadilan bagi Teoh Beng Hock - setiausaha exco kerajaan Selangor, Ean Yong Hian Wah - yang ditemui mati dalam tanda tanya dekat pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Khamis lalu.

Ditanya sama ada tindakan Pewaris bakal mencetuskan pertembungan dengan penunjuk perasaan yang menentang ISA, Rahimuddin berkata, "mereka tidak berniat mencetuskan perkara itu".

"Kalau (mereka) kata kebebasan bersuara, kami pun nak guna juga. Kita tidak ada niat pun nak bertembung dengan sesiapa," katanya, sambil menyifatkan pemilihan tarikh itu "cuma kebetulan sahaja".

Pewaris akan bermesyuarat malam ini bagi membincangkan persiapan akhir, termasuk memohon permit polis bagi tujuan itu.

Sidang media bagi mengumumkan perkara itu dijangka dibuat beberapa hari lagi.

-malaysiakini-

Komen Nur12: Polis kena bagi permit kepada kedua-dua kumpulan ini.Dalam masa yang polis mesti mengambil langkah-langkah tertentu untuk memastikan keamanan terjamin.Kita nak tengok kumpulan mana paling ramai..

ISA 'penyelamat' pemimpin pemerintah, bukan keselamatan negara - Presiden PAS


ALOR SETAR, 21 Julai (Hrkh) -Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) pada masa ini bukan lagi undang-undang keselamatan negara sebaliknya menjadi undang-undang keselamatan kepada tokoh dan pemimpin parti yang memerintah.

Demikian ditegaskan Presiden PAS, Dato' Seri Tuan Guru Abdul Hadi Awang baru-baru ini berhubung akta 'tanpa bicara' yang telah mendapat bantahan seluruh masyarakat sekaligus menggesa kerajaan memanmsuhkannya serta-merta.

Katanya, ISA adalah undang-undang zaman penjajah sedangkan negara ini memerlukan satu undang-undang yang merdeka tanpa mengongkong rakyat sebaliknya bertujuan untuk menjaga keamanan dan keselamatan.

"Bukan kita tidak boleh bertindak untuk selamatkan negara. Tetapi undang-undang itu sudah lapuk, undang-undang yang diamalkan oleh penjajah. Kita sudah merdeka, mesti undang-undang yang tidak mengongkong rakyat, yang menjaga keamanan, keselamatan.

"Apa yang berlaku hari ini undang-undang keselamatan negara menjadi undang-undang keselamatan pemimpin-pemimpin parti yang memerintah, keselamatan tokoh-tokoh yang memerintah, ini bukan undang-undang keselamatan negara!" tegasnya pada sidang media di Hotel Holiday Villa, di sini semalam

Ditanya wartawan mengenai kedapatan pihak dalam Umno yang mulai mempertikaikan ISA, Ustaz Hadi menyifatkan perkara itu sebagai kejayaan dari teguran dan kritik dibuat selama ini.

"Menunjukkan bahawa mereka (Umno) sudah tidak bersetuju dengan konsep ISA itu dan dasarnya yang perlu dikaji semula, perlu dinilai semula. Apatah lagi akta ini akta dari zaman penjajahan, negara kita telah mencapai kemerdekaan, sepatutnya dilakukan pembaharuan termasuklah pembaharuan undang-undang; memerdekakan undang-undang negara, undang-undang negara mesti dibebaskan dari belengu-belengu kezaliman yang mengongkong rakyat.

"Umno juga ada yang setuju mansuh, ada yang setuju pinda, (maknanya) dalam Umno sudah ada perbahasan di dalam mereka," ujarnya pada sidang media selepas selesai Retreat PAS Pusat yang berlangsung selama tiga hari itu.

Turut serta pada sidang media tersebut ialah Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa; Naib Presiden, Dato' Ustaz Tuan Ibrahim Tuan Man dan Dato' Mahfuz Omar; Ketua Muslimat, Ustazah Nuridah Mohd Salleh; Setiausaha Agung, Dato' Mustafa Ali; Ketua Penerangan, Ustaz Idris Ahmad dan Ahli Jawatankuasa PAS Pusat, Dato' Seri Ustaz Azizan Abdul Razak.

-harakahdaily-

PERHIMPUNAN MANSUH ISA 1 OGOS DI KL


IPOH – Gerakan Mansuhkan Isa (GMI) Perak, parti-parti politik dan Pertubuhan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Perak memberi sokongan penuh untuk mengadakan perhimpunan Mansuhkan Isa (Mansuh) pada jam 2 petang, 1 Ogos ini di Kuala Lumpur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Khalil Idham Lim berkata, Perak perlu menyertai perhimpunan itu kerana kem ISA terletak di negeri ini.

“Perak sewajarnya menghantar gelombang yang paling besar kerana kem ISA terletak di Kamunting,” katanya pada sidang media pada 17 july lepas di Wisma YMCA di sini, semalam.


Hadir sama, ADUN Teja, Chang Lih Kang; Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM), Saraswathy, Penolong Setiausaha Pas, Ismad; dan Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia, Ir Megat Shariffudin Ibrahim.


Menurut Khalil, usul untuk memansuhkan ISA ini pernah dibawa dalam Sidang Dewan Negeri pada tahun 2008 dan ia telah diluluskan.: Lih Kang pula dalam pada itu berkata, beliau selaku Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menyatakan sokongan penuh ke atas perhimpunan Mansuh itu.

“Kami membantah sekeras-kerasnya undang-undang tanpa bicara itu,” katanya. Kata Lih Kang, sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak memansuhkan ISA, jangan cuba bercakap mengenai kerajaan perpaduan atau konsep ‘Satu Malaysia’.

Beliau berkata, ISA sepatutnya bukan isu politik semata-mata tetapi ia adalah isu kemanusiaan.
Selain GMI dan NGO Perak, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Pemuda parti Gerakan turut menyatakan sokongan untuk menyertai perhimpunan itu.

Dalam pada itu, Mesyuarat Jawatankuasa Induk Himpunan Mansuh telah memutuskan untuk menghantar satu Deklarasi Rakyat kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada hari tersebut untuk memohon sembah rayuan rakyat.

Himpunan Mansuh dianjurkan sebagai kesinambungan pelbagai usaha GMI selama ini dalam membawa kesedaran tentang kezaliman ISA, membela nasib tahanan dan keluarga, membongkar kezaliman ISA dan mendesak Kerajaan untuk membebaskan tahanan, memansuhkan ISA dan menutup Kem Kamunting sehingga membawa kepada pembebasan ramai tahanan ISA dan janji kerajaan untuk mengkaji semula ISA.



-Sinar Harian 18 Julai-
-http://idhamlim.blogspot.com-

Rakyat diseru hadiri perhimpunan MANSUH 1 Ogos nanti

KUALA LUMPUR, 20 Julai (Hrkh) - Naib Presiden PAS, Salahuddin Ayub menyeru seluruh rakyat dan ahli-ahli PAS bersama-sama pejuang memansuhkan kezaliman Akta Keselamatan Dalam Negeri (ISA) berarak ke Istana Negara pada 1 Ogos.

Sebagai Komander perhimpunan MANSUH, beliau menyeru agar ahli-ahli PAS dan penyokong Pakatan Rakyat serta rakyat Malaysia yang prihatin agar dapat turut berdemonstrasi secara aman pada hari tersebut dengan memakai baju merah dan hitam.

"Saya menyeru agar seluruh rakyat Malaysia yang prihatin beramai-ramai turun untuk berdemonstrasi secara aman dan berarak ke Istana Negara pada 1 Ogos nanti tanda bantahan terhadap akta zalim ISA.

"Akta rimba ini sudah tidak sesuai lagi digunakan dan ia juga satu tanda kezaliman BN yang menggunakan akta ini kepentingan plitik mereka," tegas beliau.

Tegas beliau lagi, demonstarsi ini diadakan sebagai tanda bantahan terhadap akta ISA dan menuntut agar mereka yang masih ditahan supaya dibebaskan dengan segera.

Perhimpunan MANSUH anjuran Gerakan Mansuhkan ISA (GMI) dijadualkan diadakan pada 1 Ogos nanti bermula pada pukul 2.00 petang dari beberapa tempat sebelum berarak menuju ke Istana Negara bagi menyerahkan memorandum kepada pihak istana menuntut supaya akta itu dimansuhkan.


-harakahdaily-

Isnin, 20 Julai 2009

Dppkl hadir ke program Munaqasyah Ucaptama Ketua DPPP 09

Tarikh: 19 Julai 2009
Tempat: Markaz Pas Bukit Cempedak,Bukit Gantang.
Masa: 3ptg-7.30mlm
Pembentang: Sdr. Ahmad Sabki Yusof (Naib Ketua DPPP)
Kehadiran: 200 perwakilan Dpp seluruh Perak
Anjuran: Lujnah Penerangan Dpp Pk.


Sdr Ahmad Sabki bersama saf Dewan Harian Dppn Pk di pentas utama
Ustaz Zawawi Hasan menyerahkan resolusi kepada Saudara Ahmad Sabki
Sdr. Ahmad Sabki melancarkan penubuhan tabung kebajikan pemuda Pas Perak
KP Lumut sedang menerima fail 'bubar dun' dari KP Perak
antara perwakilan Dppkl yang hadir
hala tuju dan garis panduan tindakan..
tanggungjawab berat Dewan Pemuda Pas seluruh negara

-Nur12-