Isnin, 2 November 2009

Pas tidak pernah berpecah sekalipun ada konflik.

KUALA LUMPUR - Walaupun Jawatankuasa Pas Pusat malam Rabu lalu bersetuju mengadakan seminar politik pada 7 November ini dan bukannya Muktamar Khas bagi membincangkan kedudukan 'dua tiga kerat pemimpin tertingginya yang bermasalah', namun isu sebenar mengenai puak ini dapat disampaikan kepada anggota parti itu, kata beberapa pemerhati politik.

Pensyarah Undang-undang, Profesor Dr Abdul Aziz Bari dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) berkata, keputusan mesyuarat jawatankuasa itu tidak penting berbanding kejayaan Mursyidul Am Pas, Datuk Nik Abdul Aziz Nik Mat dalam menyampaikan mesejnya mengenai pemimpin-pemimpin yang bermasalah itu yang hasilnya akan dilihat pada masa hadapan.

“Beliau membuka mata bahawa memang ada masalah dalam kalangan pemimpin parti itu dan mereka harus disingkirkan. Mungkin tidak berlaku sekarang kerana mustahil pemimpin berkenaan akan meletak jawatan. “Tetapi mesej ini akan diingati perwakilan pada pemilihan parti akan datang,” katanya.

Nik Abdul Aziz, sebelum ini, meminta parti itu mengadakan mesyuarat agung luar biasa bagi membolehkan perwakilan membuat keputusan mengenai kedudukan beberapa pemimpin Pas yang disifatkan sebagai bermasalah termasuk mereka yang pro-UMNO.

Antara pemimpin yang dinamakan ialah Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang; Timbalan Presiden Nasharuddin Mat Isa; Setiausaha Agung, Datuk Mustafa Ali dan Pesuruhjaya Pas Selangor, Datuk Dr Hasan Mohamed Ali.

Merujuk kepada saranan Hasan mengharamkan penjualan alkohol di kawasan majoriti Islam di Selangor, Abdul Aziz berpendapat Nik Abdul Aziz sedar tuntutan sedemikian menyebabkan Pas kehilangan sokongan bukan Melayu.

“Beliau tahu Pas berdepan dengan risiko kehilangan undi bukan Melayu jika mereka berterusan dengan cara sekarang dan sebab itulah beliau bersuara agar orang bukan Melayu kembali yakin kepada Pas,” katanya.

Abdul Aziz menolak kemungkinan bahawa tindakan Mursyidul Am itu akan menyebabkan Pas berpecah.

“Sejarah menunjukkan Pas tidak pernah berpecah sekalipun ada konflik. Ini cuma ribut dalam cawan dan mereka akan terus bersama sehinggalah penyelesaian sebenar tercapai,” katanya.

Seorang lagi pemerhati politik yang tidak mahu namanya disebut berkata, kepimpinan Pas kini dibelenggu beberapa isu yang sukar dirungkai.

“Pada saya masalah ini berakar umbi dengan percanggahan pendapat antara golongan ulama konservatif dan ulama yang agak liberal. Sekarang mereka bekerjasama dengan dua parti yang memang jelas liberal dan sudah pasti mempunyai kehendak berbeza.

“Mereka mempunyai persamaan iaitu mahu menguasai kerajaan pusat, tetapi daripada segi ideologi, bezanya macam langit dan bumi. Pas masih mahu menegakkan negara Islam tetapi apakah ini yang juga dikehendaki DAP dan PKR (Parti Keadilan Rakyat), rakan Pas dalam pakatan pembangkang)?” kata pemerhati itu.

Merujuk kepada isu alkohol di Selangor, pemerhati itu berkata Abdul Hadi tidak mampu menggunakan kuasanya bagi melaksanakan keputusan Majlis Syura agar Hasan dinasihati kerana tindakan sedemikian membawa mesej Pas merestui penjualan alkohol di kawasan majoriti orang Islam.

“Malah kalau kita teliti, semasa isu (anggota Exco Selangor daripada PKR Elizabeth Wong) dulu pun, Pas memisahkan diri daripada isu itu kerana pada hakikatnya Pas masih berpegang kepada

ideologi parti, iaitu menegakkan ajaran Islam, dan tindakan Elizabeth (yang didakwa bersekedudukan dengan lelaki Islam), sekalipun beliau bukan Islam, adalah isu moral yang tidak patut disokong Pas,” katanya.

Berasaskan hujah itu, beliau melihat keputusan mesyuarat jawatankuasa pusat malam tadi untuk menyiasat Pas Selangor, adalah sekadar memuaskan hati sesetengah pihak.

“Mereka mungkin siasat tetapi apa keputusannya? Berani kah mereka menyingkir Dr Hasan? Saya berpandangan isu ini juga lama kelamaan akan didiamkan begitu saja,” kata pemerhati itu.

Kesimpulannya, kata beliau, konflik kepimpinan Pas akan berterusan, tetapi parti itu mempunyai formula untuk menyatukan mereka sekalipun berkrisis.

“Pada saya perkara ini mungkin berfaktorkan asas penubuhan parti, iaitu Islam dan pemimpinnya tetap berpegang kepada asas itu setidak-tidaknya untuk dipamerkan kepada umum, sekalipun di dalam mereka berantakan,” katanya.

Bagi seorang lagi penganalisis politik, Asri Salleh, tindakan Nik Abdul Aziz 'menggoncang bahtera' Pas mungkin berpunca daripada peningkatan sokongan rakyat terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.

“Saya melihat ada dua tekanan dihadapi Pas sekarang akibat daripada peningkatan sokongan kepada Najib ini, iaitu ada puak yang mahu Pas bekerjasama dengan UMNO sekarang dan ada puak mahu Pas kekal dengan pakatan pembangkang sehingga Pilihan Raya Umum Ke-13.

“Pihak yang pertama ini bimbang jika mereka tidak bekerjasama dengan UMNO sekarang mereka akan terlepas,” katanya yang juga pensyarah Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara, Dungun, Terengganu. - Bernama

Tiada ulasan: