Selasa, 21 Julai 2009

PERHIMPUNAN MANSUH ISA 1 OGOS DI KL


IPOH – Gerakan Mansuhkan Isa (GMI) Perak, parti-parti politik dan Pertubuhan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) Perak memberi sokongan penuh untuk mengadakan perhimpunan Mansuhkan Isa (Mansuh) pada jam 2 petang, 1 Ogos ini di Kuala Lumpur.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Titi Serong, Khalil Idham Lim berkata, Perak perlu menyertai perhimpunan itu kerana kem ISA terletak di negeri ini.

“Perak sewajarnya menghantar gelombang yang paling besar kerana kem ISA terletak di Kamunting,” katanya pada sidang media pada 17 july lepas di Wisma YMCA di sini, semalam.


Hadir sama, ADUN Teja, Chang Lih Kang; Setiausaha Parti Sosialis Malaysia (PSM), Saraswathy, Penolong Setiausaha Pas, Ismad; dan Timbalan Yang Dipertua Pertubuhan Jamaah Islah Malaysia, Ir Megat Shariffudin Ibrahim.


Menurut Khalil, usul untuk memansuhkan ISA ini pernah dibawa dalam Sidang Dewan Negeri pada tahun 2008 dan ia telah diluluskan.: Lih Kang pula dalam pada itu berkata, beliau selaku Timbalan Pengerusi Parti Keadilan Rakyat (PKR) Perak menyatakan sokongan penuh ke atas perhimpunan Mansuh itu.

“Kami membantah sekeras-kerasnya undang-undang tanpa bicara itu,” katanya. Kata Lih Kang, sekiranya kerajaan Barisan Nasional (BN) tidak memansuhkan ISA, jangan cuba bercakap mengenai kerajaan perpaduan atau konsep ‘Satu Malaysia’.

Beliau berkata, ISA sepatutnya bukan isu politik semata-mata tetapi ia adalah isu kemanusiaan.
Selain GMI dan NGO Perak, Suruhanjaya Hak Asasi Manusia (Suhakam) dan Pemuda parti Gerakan turut menyatakan sokongan untuk menyertai perhimpunan itu.

Dalam pada itu, Mesyuarat Jawatankuasa Induk Himpunan Mansuh telah memutuskan untuk menghantar satu Deklarasi Rakyat kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong pada hari tersebut untuk memohon sembah rayuan rakyat.

Himpunan Mansuh dianjurkan sebagai kesinambungan pelbagai usaha GMI selama ini dalam membawa kesedaran tentang kezaliman ISA, membela nasib tahanan dan keluarga, membongkar kezaliman ISA dan mendesak Kerajaan untuk membebaskan tahanan, memansuhkan ISA dan menutup Kem Kamunting sehingga membawa kepada pembebasan ramai tahanan ISA dan janji kerajaan untuk mengkaji semula ISA.



-Sinar Harian 18 Julai-
-http://idhamlim.blogspot.com-

Tiada ulasan: