Segala persiapan telah diatur. Kempen penerangan jelajah seluruh negara selesai sudah. Hujah mengapa PPSMI dibantah tidak diragui lagi. Tokoh-tokoh cendekiawan dan budayawan Melayu semakin ramai memberi sokongan dan tampil ke depan. Majoriti rakyat, sejak PPSMI diperkenalkan enam tahun lalu, menolak tanpa sangsi. Dasar yang pelik dan aneh itu sememangnya telah menjahanamkan perkembangan intelektual hampir satu generasi anak-anak yang tidak berdosa. Tarikh 7 Mac bakal menjadi saksi amarah yang membuak-buak itu ditumpahkan melalui satu himpunan raksasa yang bersejarah, insya-allah.
Tiba-tiba ingatan saya terimbau hampir empat tahun lalu. Saya diundang di saat-saat akhir, untuk menghadiri satu persidangan peringkat kebangsaan, di Kolej New Era, Kajang, anjuran Dong Jiao Zong (DJZ). Saya menjadi bidan terjun mewakili Kumpulan Aktivis Media Independen (KAMI) apabila tiada wakil pertubuhan Melayu yang bersedia menjadi ahli panel bagi membantah apa yang hari ini kita kenali sebagai PPSMI. Saya sampai jam 3 petang, ketika hujan panas renyai-renyai. Namun dahi saya berpeluh akibat gementar berdepan lebih 5,000orang yang datang dari seluruh negara, kebanyakannya masyarakat Tionghua yang mewakili sekolah-sekolah rendah jenis kebangsaan Cina.
bayangkan, keanehan waktu itu, dan saya terasa keseorangan dibelit kesunyian di atas pentas. Tiada wakil NGO Melayu yang mampu meluahkan bicara dan rasa tentang PPSMI yang bersedia untuk memakan korbannya. Sedangkan siapa mangsa yang paling teruk daripada rancangan pelik dan aneh itu, kalau bukan anak Melayu sendiri dibandingkan dengan pelajar Cina dan India? Benar, orang Melayu lebih suka menumbuk dinding melepaskan marah ... tapi awas, jangan sampai mengamuk! Reaksi awam ketika itu seolah-olah menggambarkan masyarakat Melayu dapat menerima PPSMI walaupun penolakan masyarakat Cina, terutama dari kelompok pendidik mereka, begitu ketara.
Enam tahun masa berlalu. PPSMI jelas "celaka". Kedudukan bahasa Melayu yang sedia lemah makin dihina di bumi sendiri. Usaha gigih pejuang bahasa sejak sekian lama untuk memartabatkannya di persada antarabangsa seperti diterajang ke jurang dalam. Anak-anakMelayu yang diketahui agak lemah dalam matematik, sains dan bahasa Inggeris dijadikan bahan uji kaji dan perkakas untuk mengaut keuntungan melalui dasar yang pelik,aneh dan bodoh itu.
Tertebuskah dosa kita membiarkan mereka merana selama enam tahun? Dan bahasa Melayu makin dipandang rendah. Malah, kita sebenarnya melakukan "usaha sia-sia" menghabiskan masa menentang PPSMI ketika kita patut menggembleng tenaga memperkukuhkan bahasa kebangsaan itu dalam setiap sektor. Tanpa PPSMI pun bahasa Melayu perlu diperkasa seutuhnya terutama menempuh badai globalisasi.
Melalui Siasah, kemudiannya Harakah, saya memberi ruang secukupnya untuk berhujah dan berdebat. Di atas pentas teori tiada siapa dapat menyanggahnya. PPSMI wajib dikuburkan,segera! Menteri Pelajaran hanya menyerlahkan kebebalan dalam beberapa reaksinya. Kini masa untuk menghentikan kebodohan yang cukup panjang ini. Budayawan, cendekiawan, pemimpin politik, aktivis masyarakat dan ibu bapa perlu bersatu tenaga untuk, bukan sahaja meruntuhkan kedunguan dan kebengongan ini, dengan turun beramai-ramai pada 7 Mac nanti, tetapi juga untuk bersama-sama membina kembali peradaban bangsa yang terabai selama ini. Selamat berdemonstrasi!_

-AHMAD LUTFI OTHMAN-
Tiada ulasan:
Catat Ulasan