Sehingga ke hari ini, pihak yang bertanggungjawab 'menderhaka' kepada bangsa Melayu dan umat Malaysia dengan menggantikan bahasa Malaysia kepada bahasa Inggeris sebagai dasar baru Pengajaran & Pembelajaran Sains Matematik dalam bahasa Inggeris (PPSMI) masih lagi belum memberi maklum balas yang melegakan semua pejuang bahasa di seluruh negara.
Mereka terus berterusan dengan kajian ketadikaan yang tiada berpenghabisan itu. Mereka dengan pelaksanaan dasar kurang cerdik itu telah secara tidak langsung meletakkan bahasa ibunda jajahan Melayu sebagai pengalas kaki. Ya, bahasa ibunda kita telah pun dijajah oleh orang kita sendiri yang berkiblatkan 'Kaabah' Barat.
Di mana warasnya dasar PPSMI itu diteruskan? Apakah logikalnya dasar itu masih dipertahankan? Kenapa apabila diajak untuk perbahasan, 'orang' PPSMI itu tidak menyambutnya. Jika dasar PPSMI itu adalah satu keperluan dan menguntungkan para pelajar, sepatutnya pihak bertanggungjawab harus dengan berani menyahut cabaran untuk memperbahaskan isu ini. 'Berani kerana benar, takut kerana salah', adakah kamu sudah melupai pepatah Melayu ini? Oh ya, lupa. Sekarang kamu tidak lagi 'beriman' dengan bahasa Melayu.
Siapakah antara kita yang masih mengingati akan nasib tulisan jawi? Ke manakah ia sekarang? Hidup lagikah? Atau sudah matikah? Kalau sudah mati, di mana nisannya? Cuba bertanya kepada anak-anak di sekolah rendah, "Tulisan jawi itu apa?".
Mungkin masih ada yang dapat menjawabnya (itu anak pejuang bahasa, pasti). Tetapi, cuba pula diberikan kepada si anak sekolah rendah itu akhbar Utusan Melayu (Melayu?) yang bertulisan jawi dan minta si anak tadi membacanya. Aku yakin, jika dapat membacanya pun, tentu sekali dengan merangkak-rangkak.
Kesan penguburan tulisan jawi ini pula apa? Siapa yang mengetahuinya? Percayalah, ini adalah propaganda halus jajahan moden kepada umat Melayu Islam. Kesannya, cuba diberikan naskhah Al-Quran kepada budak-budak lepasan UPSR yang bakal menduduki pembelajaran di kelas menengah. Tebuk mana-mana ayat dan minta dia membacanya. Pasti tidak ramai yang mampu membacanya dengan baik.
Sedangkan kalau kita imbas kembali, di zaman 80an atau 90an, mereka yang bersekolah menengah sudah mampu membaca Al-Quran dengan baik. Sedarkah kita, apabila baca Quran pun terangkak-rangkak, bagaimana mungkin untuk mereka memahami seterusnya mengamalkan perintah amar makruf nahi mungkar dan segala hukum hakam yang terkandung di dalam kita suci itu?
Kita kembali kepada isu PPSMI. Apakah hubungannya dengan isu tulisan jawi? Memang kedua-duanya itu mempunyai hubungan akrab yang sangat rapat. Kerana kedua-duanya itu adalah jambatan untuk masyarakat Melayu mengenal dan mempelajari agama Islam. Sekarang, dengan penurunan kelas tulisan jawi, telah berjaya membuat anak-anak muda kita buta Al-Quran dan secara tidak langsung jauh dengan kefahaman Islam.
Kini bahasa Melayu pula yang diganggu-gugat. Jika dasar 'celaka' ini tetap diteruskan, tunggulah suatu hari nanti apabila para ibu bapa sudah teramat sibuk menghantar anak-anak mereka ke pusat-pusat tuisyen siang dan malam (terutama bagi subjek Sains & Matematik yang sudah diinggeriskan) sehingga tiada lagi masa yang diluangkan untuk agama.
Tika itu andai ditanya ke manakah anak-anak, apa kata mereka? Mungkin begini...
"Anak makcik sekarang ni dah takde masa nak buat benda lain. Siang malam kena pergi tuisyen. Maklumlah, tahun ni kan budak-budak tu nak periksa. Jadi, nak pastikanlah supaya semua subjek dapat A."
Ingat, subjek agama bukanlah subjek wajib untuk dikejarkan 'A'. Jadi, ke manakah nanti tempat jatuhnya penghayatan Islam dalam masyarakat?
Fikir-fikirkanlah. Bukan hanya buat hari ini, tetapi juga untuk hari esok. harakahdaily.net
Tiada ulasan:
Catat Ulasan