KUALA LUMPUR : Speaker Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak, V Sivakumar semalam memfailkan permohonan untuk perintah deklarasi bahawa kerusi DUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang kosong atas dakwaan peletakan jawatan tiga Adun itu dan Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) untuk melaksanakan pilihan raya kecil.Sivakumar dalam saman yang difailkan di Pejabat Pendaftaran Mahkamah Tinggi di sini semalam, menamakan Adun Behrang, Jamaluddin Mohd Radzi; Adun Changkat Jering, Kapten (B) Mohd Osman Jailu dan Adun Jelapang, Hee Yit Foong sebagai responden pertama sehingga ketiga dan SPR sebagai responden keempat. Beliau memohon writ bersifat 'quo warranto’ dikeluarkan kepada tiga Adun itu memerintahkan semua mereka memberikan tunjuk sebab, maklumat bagaimana dan di bawah dasar atau kuasa mana mereka masih Adun kawasan masing-masing dan bertindak menjalankan tanggungjawab, fungsi dan tugas Adun.Beliau juga memohon deklarasi bahawa kerusi DUN Behrang, Changkat Jering dan Jelapang adalah kosong akibat peletakan jawatan Jamaluddin dan Mohd Osman pada 1 Februari lalu manakala Hee pada 3 Februari.Sivakumar turut memohon satu perintah injunksi menghalang ketiga-tiga mereka bertindak, menjalankan dan melaksanakan tanggungjawab, fungsi dan tugas sebagai Adun.Sementara itu, dalam dokumen berasingan, tiga Exco, iaitu Adun Sungkai, A Sivanesan; Adun Kuala Sepetang, Tai Sing Ng dan Adun Keranji, Chen Fook Chye bersama tiga lagi pengundi, Ahmad Sabri Wahab, Abdul Latip Afiffin dan Foo Hong Wai turut mengemukakan permohonan sama terhadap keempat-empat responden berkenaan.
YB KHALIL IDHAM LIM
ADUN TT.SERONG
Tiada ulasan:
Catat Ulasan