Sabtu, 6 Jun 2009

Husam akan terus berjuang untuk PAS

SHAH ALAM, 6 Jun (Hrkh) - Bekas Naib Presiden PAS, Dato' Husam Musa menegaskan beliau akan tetap meneruskan perjuangan bersama PAS.
Beliau yang tewas pertandingan jawatan Timbalan Presiden menegaskan kekalahan bukan bererti segala pandangan politiknya akan terhenti sebaliknya percaya rakan-rakan yang memenangi jawatan Naib Presiden dan Ahli Jawatankuasa Kerja PAS Pusat akan meneruskan pandangan beliau.
Husam menjelaskan, sejak awal lagi beliau sudah menjangka akan mengalami kekalahan dan menawarkan diri untuk menyatakan pandangan politiknya.
Beliau menolak tanggapan mengatakan pandangan politiknya ditolak perwakilan kerana calon-calon Naib Presiden dan AJK PAS Pusat mempunyai pandangan yang sama dengan beliau.
"Saya menerima kekalahan ini dengan hati yang terbuka dan sudah menjangkakan sejak awal akan tewas dalam perebutan jawatan Timbalan Presiden.
"Saya juga ingin mengucapkan tahniah kepada rakan saya, Nasharudin Mat Isa yang berjaya mengekalkan jawatan yang disandang.
"Saya akan tetap bersama PAS dan akan terus berjuang untuk memastikan PAS bersama Pakatan Rakyat berjaya membentuk kerajaan pusat dalam pilihan raya umum ke-13 atau pada bila-bila masa," tegas beliau dalam satu sidang media sebentar tadi.
Husam juga menjelaskan, kekalahan beliau tidak akan memberikan kesan kepada pemerintahan Tuan Guru Nik Aziz di Kelantan kerana PAS tidak memerintah berdasarkan individu sebaliknya kerana kekuatan parti.
Beliau untuk sekalian kalinya menegaskan penolakan sebarang perundingan untuk bersama Umno sebaliknya akan memastikan PAS menggantikan parti tersebut.
"Saya tidak faham kenapa ketika rakyat menolak Umno dan menerima PAS, kita mahu bersama mereka... sepatutnya mereka datang kepada kita bukan kita pergi kepada mereka. PAS perlu ganti Umno bukan bersama Umno," tegas beiau.
Biarpun tewas, Husam tetap menjadi buruan media untuk mendapatkan pandangan politiknya yang bernas dan tajam. Ini terbukti ketika turun ke pentas untuk ke tandas, beliau dikejar wartawan untuk mendapatkan respons dan komen mengenai keputusan pemilihan.

-harakahdaily-

Tiada ulasan: