Sabtu, 6 Jun 2009

PAS Perak lancar kempen bubarkan Dun Perak


SHAH ALAM, 6 Jun (Hrkh) - Kira-kira jam 4.20 petang Stadium Malawati bergema dengan laungan takbir dan bubarkan Dun Perak apabila barisan pimpinan yang berada di pentas dipakaikan 'arm band' hitam bertulis "Bubarkan Dun" oleh perwakilan Perak.


Sejurus itu juga seluruh hadirin berdiri untuk memberi sokongan apabila Timbalan Presiden PAS, Ustaz Nasharuddin Mat Isa diberi penghormatan untuk melancarkan kempen pembubaran Dewan Undangan Negeri (Dun) Perak sempena persidangan Muktamar Tahunan ke-55 hari ini.
Pelancaran tersebut biarpun berlangsung tidak sampai sepuluh minit namun ia meninggalkan kesan atau catatan sejarah kepada semua perwakilan dan hadirin.
Ini dapat disaksikan apabila secara sepontan dewan bagaikan berada di 'medan tempur'.
Suasana dewan bertambah semangat apabila Bendahari Agung PAS, Dr Hatta Ramli mengetuai hadirin melaungkan "bubar Dun Perak".


Sebelum itu, Nasharuddin yang bangun berucap dengan penuh semangat berkata, pelbagai usaha dilakukan untuk pertahan kerajaan Pakatan Rakyat di Perak.
"Hari ini sudah sampai ke peringkat maksimum ditunjukkan rakyat Perak. Kesabaran mereka terbukti dalam pilihan raya di Bukit Gantang.
"Cuma rakyat Perak tidak turun di jalan raya walaupun hak mereka dicabul dan dirampas kerajaan Barisan Nasional," katanya.
Sehubungan itu katanya, hari ini sekali lagi pimpinan PAS dan rakyat mendesak Dun Perak dibubarkan secepat mungkin.


-harakahdaily-

Tiada ulasan: