Rabu, 4 Mac 2009

500 000 PELAJAR AKAN TERCICIR JIKA PPSMI DITERUSKAN!!

MELAKA, 4 Mac (Hrkh) - Ketua Penerangan PAS Melaka, Sofi Wahab, menyeru seluruh rakyat Melaka supaya turun beramai-ramai menyertai perhimpunan aman membantah PPSMI pada 7 mac ini bagi mengembalikan bahasa melayu yang semakin terpinggir.

"Kepada yang mengaku mereka adalah ahli dan penyokong PAS haruslah memastikan kehadiran mereka sebagai komitmen terhadap perjuangan mengembalikan serta memartabatkan Bahasa Melayu yang semakin terpinggir akibat dasar PPSMI.
"Usaha saya menyokong himpunan 100,000 yang dianjurkan oleh Gerakan Mansuh PPSMI (GMP) iaitu mengadakan 'road show' seluruh negara sebagai penerangan jelas kepada rakyat bawah dasar itu tidak boleh diteruskan.
"Saya ingin mengingat tuan-puan supaya jangan takut untuk hadir kerana perhimpunan itu akan diadakan secara aman dan mereka yang datang tidak akan buat kacau melainkan ada pihak yang sengaja melakukan provokasi. Malah lambang parti-parti politik juga tidak dibenarkan," ujarnya.
Beliau turut menyeru seluruh rakyat negeri Melaka untuk turun beramai-ramai mengiringi pimpinan Gerakan Mansuhkan PPSMI (GMP) di Kuala Lumpur pada 7 Mac ini bagi bersama-sama menyerahkan memo kepada Seri Paduka Baginda Yang Dipertuan Agong.
Menurut Sofi, perjuangan memansuhkan PPSMI adalah perjuangan semua bangsa bukan hanya orang Melayu tetapi semua kerana sekiranya PPSMI ini diteruskan, Bahasa CIna dan Bahasa Tamil juga akan turut terjejas.
Ini kerana mereka terpaksa menggunakan bahasa Inggeris sebagai bahasa pengantar di sekolah mereka, katanya.
"Saya sangat dukacita atas sikap kerajaan yang tidak konsisten dan tegas dalam isu tersebut iaitu sama ada ingin meneruskan atau terus menghentikannya," kata Sofi.
Ia seolah-olah menunjukkan bahawa mereka ini sebagai orang melayu tetapi tidak mencintai bahasa sendiri malah tidak patriotik kerana Bahasa Melayu merupakan bahasa negara yang termaktub dalam perlembagaan tetapi mereka tidak begitu senang untuk melaksanakan perkara ini, katanya.
"Yang kedua, mereka tidak berperikemanusiaan. Pendapat daripda tokoh-tokoh pendidik yang telah membuat kajian dalam tahun 2006 menyatakan bahawa 500,000 pelajar akan tercicir akibat daripada pelaksanaan PPSMI. Begitu juga dengan satu kajian yang dibuat oleh UPSI menyatakan bahawa 60 hingga 70 peratus mereka yang terlibat dengan PPSMI ini tidak memahami konsep sains dan matematik," katanya.
Selanjutnya, beliau membuat kesimpulan bahawa tanpa ilmu pada hari ini samalah juga seperti kita sedang melakukan pembunuhan, dan ini kita tidak sedar, sangat mendukacitakan.
GMP yang dipengerusikan bekas ketua pengarah Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) Dato' Dr Hassan Ahmad yang dianggotai kumpulan NGO, sayap-sayap Pemuda PAS dan KeADILan akan menyerahkan memorandum bantahan PPSMI kepada Agong. - azm_

Tiada ulasan: