Rabu, 25 Februari 2009

KETUANAN DAN KEPUANAN


Dewasa ini kemelut politik di Malaysia kembali mengibarkan retorik 'ketuanan Melayu'. Istana telah digunakan demi survival politik golongan tertentu dan dipakejkan dengan 'ketuanan Melayu'. Jika selepas PRU ke-12, ramai sahaja yang marahkan pihak istana kerana tidak memihak kepada pilihan politik tertentu, namun kali ini apabila pihak istana memihak kepada mereka, pihak lawan pula menjadi derhaka dan mencabar ketuanan Melayu. Memang politik di Malaysia amat lucu dan berwarna-warni, tidak semuram politik di UK. Di UK, politiknya ikut buku, dan ikut etika, maka kurang ceria dan kurang menarik. Di Malaysia, mungkin kerana slogan Malaysia Boleh, macam-macam yang boleh berlaku.Mungkin pesanan Rasulullah SAW, 'Jika kamu tidak malu, maka lakukanlah apa sahaja yang kamu suka'...(H.R. al-Bukhari) ada benarnya di sini. Inilah yang berlaku di Malaysia, tiada lagi rasa malu. Lebih jijik lagi, politik bogel membogel semakin ketara. Bermula dari zaman reformasi berkaitan Anwar, sehinggalah kepada isu Chua Soi Lek, dan terkini isu gambar Elizabeth Wong...kesemuanya membuktikan Malaysia memang benar-benar boleh.Apa yang saya tertarik ialah apakah ketuanan Melayu itu hanya terletak pada institusi istana semata-mata? Bukankah rakyat Cina sudah lama tidak bermaharaja, tetapi negara mereka telah berjaya menempa kejayaan ekonomi. Jika hendak ikut ramalan Robert Kagan (2008), China bakal menjadi salah satu kuasa Geo-Politik menjelang tahu-tahun mendatang. Apakah ketuanan China ini ada kaitannya dengan kepupusan sistem Maharaja mereka?, ataupun tiada kaitan langsung?, Wallahua'lam.Walau apapun yang berlaku, kita perlu akur bahawa sistem istana itu adalah sebahagian dari sejarah kita, dan sebahagian dari perlembagaan. Namun, menyalah gunakan istana di dalam kemelut politik sewajarnya dinilai semula. Begitu juga mengibarkan kembali isu ketuanan Melayu untuk kepentingan politik golongan tertentu juga wajar dinilaikan juga.Persoalannya, asyik ketuanan Melayu sahaja yang dibincangkan, bagaimana pula isu kepuanan?


MASZLEE MALIK

DURHAM,UK.

Tiada ulasan: