Sabtu, 18 April 2009

SPR mahu had jumlah penyokong,Cadang hapus sistem 'barung'

KUALA LUMPUR: Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) akan melarang semua parti politik membawa penyokong terlalu ramai bagi mengiringi calon masing-masing pada hari penamaan calon, bagi mengelak berlaku kekecohan.
SPR juga bercadang menghapuskan sistem 'barung' atau pondok semakan daftar pemilih yang dikendalikan parti politik dan memastikan mereka mematuhi sepenuhnya peraturan berhubung pelaksanaan tempoh bertenang menjelang bermulanya proses pembuangan undi.

Pengerusi SPR, Tan Sri Abdul Aziz Mohd Yusof, berkata pihaknya akan menemui wakil semua parti politik bagi mendapatkan maklum balas mereka mengenai cadangan itu serta mencari kaedah terbaik untuk melaksanakannya. Katanya, cadangan menghalang parti politik membawa ribuan penyokong untuk mengiringi calon ke pusat penamaan terpaksa dibuat bagi memastikan ketenteraman dan keselamatan awam.
"Akhir-akhir ini, proses penamaan calon bagi sesuatu pilihan raya berlangsung dalam suasana tegang dan mencemaskan terutama apabila ada sehingga lebih 30,000 penyokong hadir untuk memberi sokongan kepada calon mereka.
"Wujud kecenderungan untuk parti politik membawa seramai mungkin penyokong pada hari penamaan calon bagi menunjukkan kekuatan, sedangkan ini sebenarnya boleh membahayakan keselamatan.
"Jika aliran ini tidak dibendung, mungkin pada masa akan datang, jumlah penyokong yang hadir boleh mencecah sehingga 100,000 orang dan ketika itu apa saja perkara buruk boleh berlaku,"
katanya kepada Berita Harian semalam. Abdul Aziz berkata, peningkatan jumlah penyokong yang hadir pada hari penamaan calon jelas berlaku ketika pilihan raya kecil bagi kerusi Parlimen Permatang Pauh, Kuala Terengganu, Bukit Gantang serta Dewan Undangan Negeri (DUN) Bukit Selambau dan Batang Air. Proses penamaan calon pilihan raya kecil Parlimen Permatang Pauh tahun lalu dicemari pergaduhan apabila penyokong kedua-dua parti yang bertanding gagal mengawal emosi sehingga melakukan pelbagai provokasi.
"Apabila terlalu ramai penyokong hadir pada hari penamaan calon, ada yang gagal mengawal emosi hingga mereka seperti dirasuk dan tidak menghormati orang lain. Bukan saja parti lawan, malah kadangkala SPR turut diejek," kata Abdul Aziz.
Beliau menjelaskan, cadangan menghapuskan sistem barung dibuat kerana pihaknya berpendapat ia sudah tidak lagi perlu kerana pengundi kini boleh menyemak daftar pemilih menerusi internet, di kaunter yang disediakan atau terus menghubungi SPR. Mengenai penguatkuasaan peraturan tempoh bertenang, beliau berkata, ia dibuat bagi memastikan tiada perayu undi berkeliaran atau mengganggu pengundi pada saat akhir sebelum mereka keluar melaksanakan tanggung jawab masing-masing.
"Sepanjang tempoh bertenang – iaitu bermula jam 12 tengah malam selepas tamat tempoh kempen sehingga bermulanya proses pengundian, semua kempen sepatutnya dihentikan tetapi apa yang berlaku kini, masih ada beribu-ribu peraih undi berkeliaran," katanya. Abdul Aziz berkata, kehadiran ramai penyokong pada hari penamaan calon, kewujudan barung dan kegiatan peraih undi pada tempoh bertenang menyebabkan kerajaan terpaksa mengeluarkan wang yang banyak bagi mengawal keselamatan.
Sehubungan itu katanya, SPR akan mengadakan perbincangan dengan wakil daripada semua parti politik berhubung perkara berkenaan dan hasilnya akan dimaklumkan kepada pihak berkuasa untuk tindakan lanjut.
-BH Online-
Komen Nur12: PR/Pas tak pernah bawa penyokong apatah lagi upah penyokong suruh datang.Mereka datang dengan kudrat sendiri.SPR jangan jadi 'lembu' BN.Jangan halang kebangkitan rakyat.SPR perlu belajar bahawa sesiapa pun yang cuba halang kebangkitan rakyat pasti akan gagal.

Tiada ulasan: