Jumaat, 7 Ogos 2009

'Menyampaikan maklumat' juga satu ibadah - Ustaz Fauzi Yamani

KUALA LUMPUR, 6 Ogos (Hrkh) - Menyampaikan maklumat kepada orang ramai tentang perkara hak dan mencegah mungkar seperti dilakukan oleh warga kerja kumpulan Harakah dalam menyiapkan berita dan lain-lain tanggungjawab seiringnya, merupakan satu ibadah yang baik dan dituntut Islam.

Menurut pensyarah Kolej Universiti Islam Antarabangsa Selangor (KUIS) Ustaz Fauzi Yamani berkata setiap hari, seorang pekerja yang memperbaharui niatnya dengan tujuan untuk melakukan kebaikan akan dilipatkan ganda oleh Allah SWT, ganjaran pahala sekaligus akan mendapat rezeki yang mulia baik di dunia mahupun di akhirat kelak.

"Menyampaikan maklumat dengan tujuan supaya orang akan mentaati perintah Allah swt dan menghindar kerja maksiat dan zalim seperti yang disuruh syaitan, akan mendapat pahala dan satu ibadah.

"Semua ini terkandung dengan janji Allah dalam surah At-Thalaq yang mana sesiapa yang bertawakal dan bertaqwa akan mendapat rezeki yang tidak di sangka-sangka, baik di dunia dan di akhirat," katanya.

Beliau berkata demikian dalam kuliah bulanan yang disampaikan di pejabat Harakah tengahari tadi, yang turut dihadiri sebilangan tenaga kerja media itu.

Selain itu, beliau turut menjelaskan hikmah dan fadhilat Nisfu Syaaban dan kedatangan bulan Ramadan yang mana umat Islam patut membuat persiapan sepatutnya dengan meningkatkan amal ibadat seperti yang dianjurkan Rasulullah s.a.w.

Dalam pada itu, ketika sesi soal jawab beliau turut menjelaskan kedudukan sebenar amalan puasa tiga bulan berturut-turut dan amalan membaca tiga kali Yassin berturut-turut yang dibuat umat Islam selama ini, sama ada ianya merupakan ajaran Nabi Muhammad s.a.w. atau sebaliknya.

"Sebenarnya kedua-dua amalan itu, Rasulullah tidak pernah buat. Kalau baginda puasa di bulan Rejab atau Syaban, baginda akan puasa sehari, kemudian esok tidak.

"Begitu juga, amalan membaca Yassin pada Khamis malam Jumaat, Rasulullah juga tidak pernah buat tetapi yang disuruh ialah membaca al-Quran setiap hari," katanya yang turut mendedahkan sejarah dan punca amalan membaca Yasin penduduk negara ini.

Sementara itu, ketika ditanya berkenaan aspek pembacaan al-Quran pula, yang mana perlu didahulukan sama ada pengajian tajwid, terjemahan harfiyah, taranum, tafsir dan hafaz, beliau menyarankan agar yang paling diutamakan ialah baca dan faham makna al-Quran dan tidak tertumpu kepada tajwid selama puluhan tahun.

"Jangan salah faham, tajwid juga penting tetapi jangan sampai bertahun-tahun itu sahaja sedangkan makna dan terjemahan al-Quran itu, tidak diketahui.

"Buka terjemahan pimpinan Ar-Rahman...baca satu ayat dan cari maknanya, maka akan lebih kuat penghayatan seseorang itu bila tahu sejarah turun ayat itu dan maknanya sekali," katanya yang mengakhiri kuliahnya itu kira-kira jam 2.00 petang.

-harakahdaily-

Tiada ulasan: