Selasa, 24 Februari 2009

PESURUHJAYA KEHAKIMAN TENTUKAN RABU INI SAMA ADA DENGAR PERMOHONAN NIZAR

Pesuruhjaya Kehakiman Mohamad Ariff Md Yusof menetapkan Rabu ini untuk memutuskan sama ada perlu menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes permohonan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin untuk mendapatkan pengisytiharan mahkamah bahawa beliau masih Menteri Besar Perak yang sah.Mohamad Ariff menetapkan tarikh itu di Mahkamah Tinggi Bahagian Rayuan dan Kuasa-Kuasa Khas di sini hari ini, selepas selesai mendengar hujahan peguam Sulaiman Abdullah yang mewakili Mohammad Nizar dan Peguam Kanan Persekutuan, Datuk Kamaludin Md Said, yang mewakili Pejabat Peguam Negara berhubung isu itu.Pada 18 Februari lalu, Mohamad Ariff menyatakan keinginannya menarik diri daripada mendengar perbicaraan kes itu kerana beliau pernah menjadi penasihat undang-undang untuk parti Pas, Parti Keadilan Rakyat (PKR) dan Barisan Nasional (BN) dalam beberapa kes termasuk petisyen pilihan raya.Dua isu lain iaitu sama ada kes itu perlu dirujuk ke Mahkamah Persekutuan bagi penentuan persoalan undang-undang dan sama ada Penasihat Undang-Undang Perak, Datuk Ahmad Kamal Md Shahid, boleh mewakili Zambry dalam kes itu, akan ditentukan selepas Mohamad Ariff mengumumkan keputusannya.

Tiada ulasan: