Rabu, 15 April 2009

Bubar Dun Perak jika BN kuat

IPOH, 15 April (Hrkh) - Dewan Pemuda PAS Kawasan Ipoh Timur (DPPK IT) terkejut dan kecewa dengan kenyataan Dato' Dr Zambry Abdul Kadir di dalam media cetak mengatakan kemenangan PAS dalam pilihan raya kecil Parlimen Bukit Gantang baru-baru ini tidak mendapat sokongan sebahagian besar orang Melayu sebagai menafikan mahkamah rakyat bagi memilih pemimpin yang bersih dan adil.
Demikian dinyatakan oleh Ketua Dewan Pemuda PAS Ipoh Timur, Salmah Salleh dalam kenyataan medianya hari ini sebagai mengulas kenyataan Menteri Besar Kudeta BN Perak, Zambry Abdul Kadir.
Menurutnya, DPPK IT juga kecewa dengan dakwaan pemimpin pemimpin Umno/BN yang mendakwa parti itu mendapat sokongan besar dari orang Melayu, dalam masa yang sama menyifatkan kemenangan calon PAS, Dato' Mohammad Nizar Jamaluddin yang menewaskan calon BN, Ismail Safian di Parlimen Bukit Gantang adalah kerana PAS mendapat sokongan dari orang Cina yang telah terpedaya dan terpengaruh dengan dakyah PAS dan DAP.
"Keputusan Pilihan raya Kecil Bukit Gantang baru-baru sebenarnya petanda jelas menunjukkan rakyat tidak bersetuju dengan cara BN mengambil alih kerajaan Perak pada awal Februari lalu. BN sebenarnya menguasai kerajaan tidak mengikut peraturan dan Perlembagaan negeri serta membelakangkan undang-undang," katanya.
DPPK IT melihat contoh sebelum ini seperti kenyataan Dato' Seri Tajol Rosli Ghazali pernah menawarkan diri untuk meletak jawatan sebagai Ahli Dewan Undangan (Adun) Pengkalan Hulu bagi membuktikannya bahawa rakyat tidak menolak BN pada pilihan raya umum ke-12 baru-baru ini akan berulang lagi dengan kenyataan yang sama.
"Kita mencabar jika benar-benar BN / Umno masih lagi diperlukan oleh rakyat Perak, Zambry boleh menjemput Nizar sama-sama memohon perkenan mengadap DYMM Seri Paduka Baginda Sultan Perak bagi membubarkan DUN Perak jangan hanya membuat kenyataan-kenyataan yang tidak bertanggungjawab yang akan menyebabkan pelabur takut untuk datang ke Negeri ini," katanya.
-harakahdaily-

Tiada ulasan: