Rabu, 15 April 2009

SU Akhbar Presiden Pas,Ust Taib Azamuddin tewas pada pemilihan parti

Setiausaha akhbar presiden PAS gagal mempertahankan jawatannya sebagai yang dipertua yang disandang selama dua penggal, sementara seorang tokoh ulama PAS tewas di tangan seorang pesara guru.
Roslan Shahir Mohd Shahir gagal di Kelana Jaya, manakala ahli parlimen Baling, Taib Azamudden Md Taib kalah sebagai timbalan yang dipertua. Pegawai Datuk Seri Abdul Hadi Awang itu gagal mempertahankan jawatan tersebut yang dipegangnya sejak 2005 – sebagai kawasan parlimen yang baru – di tangan timbalannya Izham Hashim. Kenaikan Izham, yang juga ahli Majlis Bandaraya Shah Alam, dianggap suara akar umbi PAS yang menolak Roslan kerana didakwa sering mempertahankan isu rundingan dengan Umno.
Izham memberitahu Malaysiakini, Roslan tewas akibat dua faktor utama – pertama, kecenderungan ahli-ahli menolak isu kontroversi tersebut, termasuk cadangan Abdul Hadi menganjurkan kerajaan campuran, dan juga beliau dikatakan tidak rapat dengan pemimpin-pemimpin cawangan.
Dihubungi hari ini, Roslan menafikan kekalahannya itu "ada kena-mengena" dengan isu rundingan PAS-Umno dan kerajaan campuran. "Kalah menang adat pertandingan, mungkin akar umbi mahu pemimpin (yang) lebih baik daripada saya, bekerja lebih kuat daripada saya," katanya.
Roslan, yang juga ketua penerangan PAS Selangor, tewas 10 undi di tangan jurutera itu daripada 102 perwakilan.
Kelana Jaya mencalonkan Datuk Husam Musa sebagai timbalan presiden, manakala Mohamad Sabu, Datuk Seri Mohd Nizar Jamaluddin dan Taib Azamudden sebagai naib presiden.
Ust Taib Azamudden, bekas imam besar Masjid Negara, tewas kepada ADUN Kupang, Johari Abdullah dengan majoriti lebih 40 undi daripada lebih 600 perwakilan.Bagaimanapun, jawatan yang dipertua bagi kawasan tersebut yang disandang Abdul Wahad Hassan dan naibnya Hassan Saad tidak dipertandingkan.Kawasan itu tidak mencadangkan nama-nama untuk mengisi pemimpin atasan PAS, sebaliknya menyerahkan kepada barisan pemimpin Baling yang baru dilantik.
Mesyuarat kawasan-kawasan PAS yang bermula 9 Mac lalu, akan berakhir hujung minggu ini. Manakala mesyuarat ketiga-tiga dewan - Pemuda, Muslimat dan Ulama - di peringkat negeri akan berlangsung antara 20 April hingga 10 Mei.Pemilihan barisan pemimpin atasan parti di muktamar ke-55 di Stadium Malawati, Shah Alam antara 3 hingga 7 Jun dijangka menampilkan pertarungan sebenar aliran-aliran utama parti itu, khususnya golongan pro-muzakarah dan pro-Pakatan Rakyat (dikenali juga "kumpulan Erdogan").Ia dijadual disertai lebih 1,000 perwakilan dari 175 kawasan PAS di seluruh negara.Pemilihan dan persidangan Pemuda, Muslimat dan Ulama dijadual berlangsung sehari pada 4 Jun.
-malaysiakini-

Tiada ulasan: