KOTA BAHARU: Kerajaan akan mengkaji semula pelaksanaan dasar Islam di negara ini termasuk konsep Islam Hadhari yang diperkenalkan bekas Perdana Menteri, Tun Abdullah Ahmad Badawi, bagi memastikan keberkesanan dari segi pendekatan dan penerimaan rakyat terhadapnya.
Menteri di Jabatan Perdana Menteri, Mej Jen (B) Datuk Jamil Khir Baharom, berkata ini adalah di antara beberapa aspek yang akan dilihat beliau secara mendalam sebaik memulakan tugas dalam portfolio agama sebagai menteri di Jabatan Perdana Menteri.
"Perdana Menteri (Datuk Seri Najib) sendiri sudah memberi mandat kepada saya untuk melihat perkara-perkara berkaitan dengan agama sebaik dipertanggungjawabkan memegang portfolio ini," katanya kepada pemberita selepas merasmikan Multaqa (Pertemuan) Guru-Guru dan Penyelia Kelas Fardu Ain (Kafa) Kelantan 2009 di Pusat Teknologi Pendidikan Kelantan, Pengkalan Chepa di sini, hari ini.
Selain itu, katanya, beliau juga akan mengkaji kedudukan gaji dan elaun kakitangan guru Kafa yang diletakkan di bawah seliaan Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
"Ini kerana guru-guru ini penting bagi melahirkan modal insan di peringkat awal di mana seperti kata pepatah melentur buluh biar waktu rebung," katanya.
Beliau berkata, kerajaan memperuntuk lebih RM221 juta bagi melaksanakan program Kafa pada tahun ini.
"Ini bagi membiayai bayaran elaun guru dan penyelia sahaja dan tidak termasuk untuk lain-lain aktiviti Kafa," katanya sambil menambah peruntukan itu disalurkan menerusi Jakim.
Katanya, Jakim juga meluluskan sebanyak RM2 juta untuk latihan guru dan penyelia dan RM340,000 untuk perolehan peralatan bantuan mengajar kelas Kafa tahun ini. Katanya, Kelantan mendapat peruntukan tertinggi setiap tahun dengan peruntukan tahun lalu sebanyak RM32 juta membabitkan 6,194 guru, 15 penyelia dan 144,439 murid.
"Peruntukan itu bertambah sehingga RM37.2 juta pada tahun ini iaitu kenaikan sebanyak 16.5 peratus," katanya.
- Bernama -
Komen Nur12: Kini satu persatu dasar Tun Paklah mahu dirobek Najib.Tapi sebagaimana yang dijangka hayat Islam Hadhari bergantung kepada hayat Tun Paklah Badawi.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan