Jumaat, 22 Mei 2009

Kawalan keselamatan ketat, menanti keputusan Mahkamah Rayuan

PUTRAJAYA, 22 Mei (Hrkh) - Mahkamah Rayuan hari ini bakal memberi keputusan berhubung rayuan Dato' Seri Dr Zambry Abdul Kadir terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang mengisytiharkan bahawa Dato' Seri Mohammad Nizar Jamaluddin sebagai Menteri Besar Perak yang sah.
Ketika ini, kawalan keselamatan mula diperketatkan bilamana, orang ramai dan penyokong dilarang untuk menghampiri sekitar ruang depan kamar 3 Mahkamah Rayuan, tempat berlangsungnya perbicaraan.
Berlaku kekecohan apabila beberapa media daripada daripada dalam dan luar negara dilarang masuk. Malah Adun Titi Serong Drs Khalil Idham Lim dan Adun BN, Dato' Ahmad Pakeh yang hadir tidak dapat memasuki mahkamah.
Kelihatan orang ramai dan penyokong kedua-dua pihak Pakatan Rakyat dan Barisan Nasional (BN) hampir 200 orang mula memenuhi ruang mahkamah manakala dua buah stesen televisyen Malaysia sedang dalam persiapan membuat lintas langsung, berhubung keputusan yang bakal didengar jam 3.30 petang ini.
Keputusan itu bakal dibacakan oleh Hakim Dato' Md Raus Shariff, yang bersidang bersama Hakim Dato' Zainun Ali dan Hakim Dato' Ahmad Maarop berhubung keputusan perintah Mahkamah Tinggi bahawa Mohammad Nizar Jamaluddin daripada PAS adalah Menteri Besar yang sah.
Semalam, panel tiga hakim itu mendengar selama tujuh jam penghujahan oleh tiga pihak yang terlibat terdiri Zambry, Mohammad Nizar dan Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail selaku pencelah.
Permohonan Mohammad Nizar agar rayuan itu didengar oleh panel lima hakim telah ditolak.
-harakahdaily-

Tiada ulasan: