Rabu, 6 Mei 2009

Menjelang 7 Mei (10): Perlantikan Zambry MB Perak tidak ikut perlembagaan

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini hari ini diberitahu bahawa pelantikan Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir sebagai Menteri Besar Perak pada 6 Feb lepas, menggantikan Datuk Seri Mohammad Nizar Jamaluddin, adalah tidak mengikut perlembagaan.
Peguam Sulaiman Abdullah, untuk Mohammad Nizar, berkata bahawa Zambry tidak boleh menuntut pejabat Menteri Besar kerana Mohammad Nizar belum meletak jawatan dan pejabat Menteri Besar tidak pernah dikosongkan.
"Pelantikan seseorang ke pejabat Menteri Besar mungkin hanya sah jika pejabat itu dikosongkan."Jika pejabat itu tidak dikosongkan, tidak ada pelantikan yang sah dalam undang-undang untuk menduduki pejabat itu, kerana tidak boleh ada dua orang memegang satu jawatan Menteri Besar," kata Sulaiman dalam hujah dua jamnya.
Pada 13 Februari, Mohammad Nizar, 52, yang dilantik sebagai Menteri Besar Perak pada 17 Mac, tahun lepas, memfailkan permohonan untuk semakan kehakiman di Mahkamah Tinggi (Rayuan dan Kuasa Khas) bagi memohon pengisytiharan bahawa beliau pada ketika mana adalah Menteri Besar Perak.
Dalam afidavit untuk menyokong permohonan itu, Mohammad Nizar mengukuhkan bahawa:
* Beliau telah menasihat dan memohon pembubaran Dewan Undangan Negeri (DUN) untuk mengelakkan berlaku sebarang kebuntuan dalam pentadbiran hal ehwal negeri itu memandangkan tiga anggota DUN tersebut telah meletak jawatan;
* Tidak ada pembubaran DUN;
* Tidak ada usul tidak percaya dibentangkan terhadap beliau di DUN;
* Beliau belum meletak jawatan daripada pejabat Menteri Besar.
Sulaiman, dalam hujah beliau hari ini juga mempertikaikan bahawa Menteri Besar Perak tidak boleh dilucutkan jawatan oleh Sultan Perak."Menteri Besar mungkin hanya boleh dilucutkan jawatan setelah undi tidak percaya diluluskan terhadap beliau oleh anggota DUN itu," kata beliau.
Ini kerana, kata Sulaiman, Menteri Besar itu tidak memegang jawatan dengan perkenan Duli Yang Maha Mulia tetapi memegang jawatan tertakluk kepada keyakinan anggota DUN yang mana (Menteri Besar) bertanggungjawab."Peranan Duli Yang Maha Mulia di bawah Artikel 16(6) hanya memutuskan sama ada atau tidak untuk membubarkan DUN, jika Menteri Besar telah hilang undi tidak percaya," kata Sulaiman.
Sulaiman yang sebelum ini tidak bersetuju dengan hujah pencelah, Peguam Negara Tan Sri Abdul Gani Patail berkata bahawa pembubaran DUN tidak hanya tertakluk pada keadaan di mana Menteri Besar telah hilang keyakinan majoritinya.
"Apabila Menteri Besar menghadap Sultan memohon perkenan untuk membubarkan DUN, ia bukan satu pengakuan bahawa beliau telah hilang keyakinan majoriti. Pembubaran boleh dipohon pada bila-bila masa, untuk sebarang sebab, dan bukan terhad pada hilang keyakinan majoriti," katanya.
Sulaiman juga berkata mahkamah hendaklah mematuhi dan mengaplikasikan keputusan Stephen Kalong Ningkan menentang Tun Abang Openg dan kes Tawi Sli, yang diputuskan oleh Mahkamah Tinggi Sarawak pada 1966, pada kes ini.
Pada kes itu yang memutuskan bahawa Gabenor tersebut tidak boleh melucutkan Ketua Menteri tersebut dan tidak boleh melantik seorang Ketua Menteri kedua sementara ada seorang lagi memegang jawatan berkenaan, dan bahawa hanya satu jalan untuk Ketua Menteri untuk melucutkan jawatan dengan cara undi tidak percaya dalam Majlis Negeri.
Perlembagaan Sarawak, Perlembagaan Perak sangat jelas bahawa ia tidak ada kuasa untuk melucutkan jawatan Menteri Besar itu dan budibicara untuk melantik dua orang memegang jawatan Menteri Besar itu.
"Peruntukan Artikel 7(1) Perlembagaan Sarawak sama dengan Artikel 16(6) Perlembagaan Perak dan keputusan kes itu masih merupakan satu undang-undang yang baik," kata beliau.
Penghujahan di hadapan Hakim Datuk Abdul Aziz Abd Rahim disambung esok.
-Mstar-

Tiada ulasan: