Isnin, 4 Mei 2009

Menjelang 7 Mei (2): Speaker pohon Sultan tangguh sidang Dun

Saya telah menulis surat kepada Duli Yang Maha Mulia Seri Paduka Seri Sultan Perak Sultan Azlan Muhibuddin Shan pada hari ini. Surat telah dihantar ke Pejabat Istana Kinta lebih kurang jam 11.00 pagi. Saya telah memohon kepada Tuanku Sultan untuk mempertimbangkan supaya persidangan Dewan Negeri Perak ditangguhkan sehingga satu tarikh yang ditetapkan oleh Tuanku Sultan kemudian. Sidang Dewan Negeri Perak dijadualkan bermula pada 7 Mei 2009.
Saya membuat permohonan ini kerana kedudukan Menteri Besar Perak masih dalam pertimbangan mahkamah. Kes Dato Seri Dr Zambry Abdul Kadir dan Dato Seri Hj Mohammad Nizar Bin Jamaluddin sedang dalam proses perbicaraan di Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur.
Saya berpendapat bahawa adalah tidak munasabah sidang Dewan Negeri diadakan dalam kedudukan YAB Menteri Besar Perak yang masih dalam pertikaian di mahkamah.
Tambahan pula, saya juga merasa bimbang akan berlaku perselisihan dan pertelingkahan yang sukar dikawal pada hari tersebut. Pada jangkaan saya, kedua-dua pihak akan bertikam lidah mempertahankan pendirian masing-masing.
Untuk menjaga keharmonian, kemuliaan dan kehormatan dewan, saya telah memohon kepada Tuanku Sultan menangguhkan persidangan ini buat sementara waktu.
YB. V.Sivakumar
Yang Dipertua Dewan
Negeri Perak Darul Ridzuan

Tiada ulasan: