Rabu, 6 Mei 2009

Menjelang 7 Mei (14): BN tidak utamakan susun atur kerusi DUN

IPOH: Barisan Nasional (BN) tidak mengutamakan kedudukan susun atur kerusi dalam sidang Dewan Undangan Negeri (DUN) esok kerana ia tidak memberi kesan terhadap persoalan pihak mana yang memerintah kerajaan negeri. Menteri Besar, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir, berkata BN tidak bimbang terhadap sebarang keputusan Speaker, V Sivakumar, berhubung kedudukan kerusi kerana apa yang penting ialah BN memperolehi majoriti 31 kerusi DUN dan memerintah kerajaan negeri. "Mengikut kebiasaan, pihak kerajaan seharusnya berada di sisi kanan Speaker tetapi jika beliau membuat keputusan sebaliknya, kita tidak kisah kerana apa yang menjadi keutamaan ialah siapa yang menguasai majoriti," katanya pada sidang media selepas mempengerusikan mesyuarat Exco kerajaan negeri di sini, hari ini.
Zambry berkata, beliau membuat penjelasan itu kerana sejak sebulan lalu sering dihujani dengan pertanyaan berhubung kedudukan kerusi dalam DUN berikutan pakatan pembangkang masih terus menyatakan mereka kerajaan negeri yang sah. Beliau berkata, pihaknya mahu memastikan perjalanan DUN esok berjalan lancar dan mengikut peraturan dengan BN sendiri tidak akan melakukan perkara di luar jangkaan. Ditanya jika Speaker menolak usul untuk melucutkan jawatannya bagi membolehkan pemilihan Speaker baru, Zambry berkata: "Kita tunggu dan lihat."
Beliau juga ditanya apa salahnya jika BN terus mengekalkan kedudukan Speaker sekarang, Zambry berkata, BN bersedia berbuat demikian tetapi pihaknya mahukan Speaker yang `mesra' dengan kerajaan negeri bukan yang sebaliknya.
-BH Online-
Komen Nur12: Bn sebenarnya sudah terperangkap dengan jerat ciptaan mereka sendiri.

Tiada ulasan: