Rabu, 6 Mei 2009

Pemuda Pewaris Kepimpinan

KUALA TERENGGANU, 6 Mei (Hrkh) - Kebangkitan pemuda perlu dibimbing dan dipandu dengan bijaksana melalui uslub serta pendekatan yang tepat.
Pemuda hari ini, terdedah dengan gejala sosial dan jenayah yang menggerunkan termasuk isu mat rempit perlu ditangani dengan hikmah.
Naib Ketua Pemuda PAS Pusat, Ustaz Azman Shapawi Abd Rani berkata demikian ketika berucap pada majlis perasmian Muktamar Tahunan PAS Kali Ke-40, Dewan Pemuda PAS Negeri Terengganu di Markaz Tarbiyyah PAS Kawasan Kuala Terengganu, baru-baru ini.
"Walaupun kebanyakkan mat rempit sering berlumba dan ada yang menunggang secara berbahaya di jalan raya mempamerkan aksi 'stunt' (lasak).
"Mereka (mat rempit) juga dikaitkan dengan kegiatan gangster, rompak berkumpulan, pergaduhan, kecurian dan lain-lain,"ujarnya.
Justeru itu, kata beliau kepimpinan pemuda yang bakal mewarisi kepimpinan parti pada masa depan perlu bersedia dan menyiapkan diri masing-masing.
Pertama, katanya persediaan iman yang membentuk 'syaksiah Islamiyyah' atau keperibadian Islam yang sempurna serta mampu bertahan menghadapi cabaran.
Kedua, menurutnya persiapan dari sudut 'thaqafah' (pengetahuan) sama ada 'thaqafah Islamiyyah' dan 'thaqafah umum'.
Manakala ketiga, katanya persediaan 'haraki' untuk bergerak dan menggerakkan bahtera Islam dengan adap-adap berjemaah.
"Saya harap Dewan Pemuda PAS negeri lebih agresif dan prihatin bagi melahirkan pemuda yang dilengkapi dengan tiga persediaan itu," ujarnya.
Menurutnya, persediaan tersebut mestilah berterusan, seimbang, praktikal dan bukan sekadar teori sahaja.
Muktamar tersebut telah dirasmikan oleh Pesuruhjaya PAS Terengganu, Dato' Mustafa Ali yang sebelum itu disambut dengan saf pembarisan Unit Amal Terengganu.
-harakahdaily-

Tiada ulasan: