Jumaat, 15 Mei 2009

Tidak perlu pilihan raya baru-Tun.M


CYBERJAYA 14 Mei - Dewan Undangan Negeri (DUN) Perak perlu bersidang bagi menentukan siapakah yang layak menjadi Menteri Besar melalui usul undi tidak percaya.
Bekas Perdana Menteri, Tun Dr. Mahathir Mohamad berkata, pilihan raya tidak perlu diadakan bagi menamatkan kebuntuan kemelut politik yang berlarutan di negeri itu sejak Februari lalu.
''Jika Barisan Nasional (BN) benar-benar mempunyai majoriti, mereka boleh membawa usul tidak percaya terhadap Menteri Besar atau kerajaan, kemudian kerajaan baru, boleh ditubuhkan.
"Jadi mengapa perlu untuk mengadakan satu pilihan raya yang baru kerana rakyat sudah berasa perit dengan pilihan raya," katanya.
Beliau bercakap kepada pemberita selepas menyampaikan ucapan bertajuk, Malaysia - Ekonomi Berasaskan Ilmu Pengetahuan pada majlis pasca program Sidang Kemuncak Penyumberan Luar Asia-Pasifik (APOS) 2009 di sini hari ini.
Dr. Mahathir ditanya mengenai pandangan pelbagai pihak termasuk beberapa pemimpin parti komponen BN bahawa pilihan raya perlu diadakan di Perak bagi menyelesaikan krisis politik di negeri itu.
Menurut beliau, pilihan raya di seluruh negeri memerlukan kos yang tinggi selain ramai yang mengetahui bahawa keputusannya pasti tidak akan menyebelahi BN.
''Hasilnya ialah satu kesimpulan yang sudah dapat dijangka. Itulah perasaan saya bahawa pakatan pembangkang akan menang. Jadi mengapa hendak pilihan raya.
''Bagaimanapun saya tidak membuat sebarang kajian dan tinjauan pandangan umum. Ia hanya perasaan saya selepas pilihan raya kecil di Bukit Gantang dan sebagainya," katanya.
Lagipun katanya, rakyat negeri itu telah membuat pilihan melalui undi mereka dengan memilih orang yang bersedia untuk melompat parti.
Mengenai pandangan bahawa pilihan raya kecil hanya perlu diadakan di tiga DUN yang membabitkan wakil rakyat Bebas kerana ia menjadi punca pergolakan politik di Perak, Dr. Mahathir berkata: ''Yang itu saya tidak ada pandangan."
Sementara itu ditanya adakah krisis politik Perak akan memberikan kesan terhadap BN pada Pilihan Raya Umum Ke-13, beliau secara berseloroh berkata: ''Saya harap orang akan mudah lupa (tentang krisis itu)."
Kepada soalan tentang masa depan UMNO dan BN berasaskan kepada trend yang berlaku sekarang beliau berkata: "Saya mohon tidak menjawab soalan itu dan kalau ada sekali pun, ia hanya pandangan peribadi saya.
"Jadi biarlah saya menyimpannya untuk saya sendiri," katanya.



-Utusan Online-


Komen Nur12: Inilah gaya 'ular' bercakap.Jangan terpedaya dengan 'ular'.Orang politik kena faham cakap 'ular' politik.
Tun Mahathir,siapa tak kenal Tun.Semua orang kenal Tun.Walaupun usia dah 'senja' tapi masih licik persis ular.Maaf Tun.

Tiada ulasan: